TM terus dapat manfaat daripada peningkatan penggunaan jalur lebar : MIDF | DagangNews Skip to main content

TM terus dapat manfaat daripada peningkatan penggunaan jalur lebar : MIDF

Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 26 Okt. -  Telekom Malaysia Bhd (TM) dijangka terus  mendapat manfaat daripada peningkatan penggunaan jalur lebar gentian di samping  menjadi pemain talian tetap utama negara.

 

Menurut MIDF Research, TM bakal melancarkan sambungan jalur lebar fiber ke kira-kira 85% premis di seluruh negara menjelang 2025.

 

Kumpulan telekomunikasi itu juga menurut MIDF akan menyediakan akses tetap tanpa wayar kepada baki 15% premis di kawasan terpencil.

 

"TM bersedia untuk mendapat manfaat daripada peningkatan penggunaan jalur lebar gentian di samping ia menjadi pemain talian tetap utama negara. 

 

"Kami percaya bahawa pertumbuhan hasil Kumpulan, merentas kelompok hasil utamanya iaitu Unifi, TM One dan TM Wholesale akan kekal utuh. 

 

"Oleh itu, kami mengekalkan syor BELI kami pada TM dengan harga sasaran (TP) tidak berubah sebanyak RM6.91," katanya dalam nota kajiannya di sini hari ini.

 

Menurut MIDF, saranan 'Beli' itu dibuat selepas pihaknya menghadiri sesi taklimat maya bersama TM bagi mengetahui maklumat terkini mengenai rangkaian dan teknologi kumpulan (GNT).

 

Firma penganalisis itu berkata, dalam sesi berkenaan, TM turut berkongsi maklumat mengenai lonjakan besar dalam penggunaan data rakyat Malaysia.

 

"Pandemik global telah mempercepatkan penggunaan data di kalangan pengguna akhir. 

 

"TM merekodkan lonjakan 2.4x dalam trafik keseluruhannya daripada 3,758 Gbps pada Januari 2020 (sebelum fasa PKP) kepada 8,890 Gbps pada September 2021 (fasa PKP 3.0). 

 

"Purata data yang dimuat turun meningkat daripada 238GB kepada 470GB setiap pelanggan," katanya. -DagangNews.com