TM, ZTE meterai MoU teroka kerjasama dalam inovasi R&D perkukuh transformasi digital Malaysia | DagangNews Skip to main content

TM, ZTE meterai MoU teroka kerjasama dalam inovasi R&D perkukuh transformasi digital Malaysia

Datuk Imri Mokhtar (empat dari kiri) dan Steven Ge (empat dari kanan) bertukar dokumen MoU, disaksikan oleh Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil (tiga dari kiri); Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching (tiga dari kanan); Pengerusi SKMM, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din (dua dari kiri) dan Timbalan Ketua Setiausaha, Kementerian Komunikasi dan Digital, MA. Sivanesan Marimuthu (dua dari kanan).
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 1 Jun - Telekom Malaysia Bhd (TM) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan ZTE Malaysia Corporation Sdn Bhd untuk bekerjasama dalam pelbagai inovasi penyelidikan dan pembangunan (R&D) di bawah program perkongsian strategik terkini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Datuk Imri Mokhtar berkata perkongsian tersebut akan memanfaatkan kepakaran bersama TM dan ZTE bagi memacu inovasi dan transformasi digital untuk pelanggan dan industri.

 

Ini akan menumpukan kepada peluang R&D dan pengkomersialan, penambahbaikan produk dan teknologi, serta peningkatan ekosistem bakat digital TM.

 

“Menerusi usaha ini, ia akan menjadi cabang R&D TM yang menyediakan ujian perkakasan dan penambahbaikan reka bentuk, perundingan mengenai teknologi platform digital serta penyelesaian bersepadu bagi memastikan tawaran kami tersedia di pasaran,” katanya, dilaporkan oleh Bernama hari ini.

 

 

Datuk Imri Mokhtar
Datuk Imri Mokhtar

 

 

Imri berkata MoU itu dibuat selepas satu lagi penyelidikan bersama terbaru dalam teknologi akses generasi akan datang untuk meningkatkan ketersambungan internet berkelajuan tinggi di Malaysia.

 

"Memperkenalkan jalur lebar 50 gigabit sesaat (Gbps) yang pertama di Malaysia telah mempersiapkan kami untuk memacu perkhidmatan inovatif lain seperti 5G,realiti maya (VR) awan dan pembuatan pintar yang akan memanfaatkan komuniti, perniagaan dan kerajaan," katanya.

 

Menurut syarikat itu, kerjasama tersebut juga akan bertindak sebagai langkah penting ke arah mengukuhkan infrastruktur digital dan telekomunikasi negara, serta memperkasakan kelebihan daya saing Malaysia menyampaikan penyelesaian termaju kepada pasaran.

 

Berdasarkan pelaburan berterusan TM dan ZTE serta komitmen terhadap R&D dan inovasi, perkongsian itu bertujuan untuk menyampaikan produk dan perkhidmatan baharu, dengan TM berkhidmat sebagai rakan kongsi perniagaan pilihan ZTE untuk menggunakan penyelesaian inovatif, strategi ke dalam pasaran, pengkomersialan dan rangkaian merentasi pelbagai pasaran dan segmen pelanggan di Malaysia dan serantau.

 

Kedua-dua syarikat juga akan mengusahakan perancangan rangkaian dan teknologi serta transformasi digital keseluruhan dengan menghimpunkan perisian-sebagai-perkhidmatan (SaaS), platform-sebagai-perkhidmatan (PaaS) dan apa-apa sahaja sebagai perkhidmatan (XaaS) sebagai pembekal untuk membangunkan penyelesaian hujung ke hujung tersuai bagi pelbagai sektor industri.

 

Kerjasama itu akan memberi tumpuan kepada meningkatkan ekosistem bakat digital TM, meliputi bidang seperti amalan terbaik kecekapan bakat, rangka kerja kecekapan profesional, latihan teknikal dan pensijilan untuk transformasi digital, serta perkongsian pengetahuan merentas sempadan mengenai teknologi baharu.

 

Pengarah Urusan ZTE, Steven Ge berkata, kerjasama itu akan menghasilkan inovasi dan penyelesaian baharu untuk menangani keperluan pasaran digital yang semakin meningkat hari ini.

 

"ZTE juga komited menyokong transformasi digital TM dan pertumbuhan ekosistem bakat melalui kepakaran dan sumber global kami, dan kami percaya perkongsian ini akan mewujudkan situasi menang-menang untuk kedua-dua belah pihak sambil menetapkan standard industri baharu bagi kerjasama strategik," katanya. -DagangNews.com