TNB buat persiapan awal untuk bekalan elektrik stabil di pusat simpanan vaksin | DagangNews Skip to main content

TNB buat persiapan awal untuk bekalan elektrik stabil di pusat simpanan vaksin

 

KUALA LUMPUR 20 Feb. - Tenaga Nasional Berhad (TNB) membuat persiapan awal bagi memastikan bekalan elektrik di pusat penyimpanan vaksin dan pusat pemberian vaksin COVID-19 di seluruh negara kekal stabil sepanjang pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

 

Ketua Pegawai Rangkaian Pembahagiannya, Datuk Ir. Baharin Din berkata, Malaysia akan menerima vaksin Pfizer-BioNTech bermula 21 Februari ini disusuli dengan fasa pertama program imunisasi pada 26 Februari. Bekalan elektrik yang stabil diperlukan kerana vaksin tersebut perlu disimpan pada suhu -70 darjah Celsius.

 

Baharin
                                        Baharin Din

 

“Perbincangan bersama pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah dan sedang diteruskan bagi memperinci keperluan KKM terutama melibatkan usaha mengelakkan gangguan bekalan di lokasi penyimpanan vaksin,” kata Baharin.

 

Beliau berkata, TNB akan memastikan sistem bekalan elektrik utama dan alternatif beroperasi dengan baik di semua pusat penyimpanan dan pusat pemberian vaksin.

 

“TNB juga merangka pelan kontigensi pemulihan bekalan dengan pantas di beberapa pencawang yang dikenalpasti melalui pemasangan sistem pengalihan bekalan secara automasi kawalan jauh antaranya Normal Off Point (NOP), Automated Transfer Scheme (ATS) dan Remote Terminal Unit (RTU).

 

“Bagi mengelakkan kegagalan pada sistem, kerja-kerja penyelenggaraan condition-based maintenance (CBM) terhadap pencawang dan pembekal elektrik ke pusat penyimpanan vaksin telah dilaksanakan.

 

“TNB juga melakukan sesi keterlibatan (engagement) dengan pihak hospital dan klinik kesihatan untuk memastikan set janakuasa mereka berfungsi dan bersedia untuk beroperasi sekiranya diperlukan,” tambah Baharin.

 

Selain itu, pasukan teknikal TNB akan berada dalam keadaan siap sedia serta set-set janakuasa bergerak akan diletakkan di lokasi-lokasi strategik bagi memastikan tindakan yang pantas dapat diambil sekiranya berlaku sebarang gangguan bekalan di pusat-pusat penyimpanan vaksin.

 

TNB turut telah menyediakan dua saluran perhubungan khusus (talian khas) kepada pusat penyimpanan vaksin bagi membolehkan komunikasi pantas dengan TNB jika berlaku gangguan.

 

Dalam pada itu, Baharin memohon kerjasama kontraktor-kontrakor yang melakukan kerja-kerja pengorekan berhampiran kabel bawah tanah TNB untuk menghubungi TNB sebelum memulakan kerja bagi mengelak kerosakan pada kabel, seterusnya menyebabkan gangguan bekalan terutama di pusat-pusat penyimpanan vaksin.

 

Sekiranya orang ramai menyedari sebarang kejanggalan pada pemasangan TNB atau ingin melaporkan gangguan bekalan, sila hubungi talian TNB CareLine 15454. - DagangNews.com