TNB kongsi petua keselamatan dan penjimatan elektrik sebelum balik kampung | DagangNews Skip to main content

TNB kongsi petua keselamatan dan penjimatan elektrik sebelum balik kampung

Pengguna juga dinasihatkan supaya menguji Pemutus Litar Arus Baki (PLAB) di kediaman masing-masing bagi mengesan jika ada sebarang kejanggalan.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 18 April - Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyarankan para pengguna agar mengambil langkah-langkah keselamatan dan penjimatan sebelum meninggalkan kediaman masing-masing untuk 
bercuti atau pulang ke kampung halaman sempena sambutan Aidilfitri minggu ini. 

 

TNB dalam kenyataan hari ini memaklumkan, terdapat beberapa petua yang boleh diamalkan demi memastikan keselamatan premis dan bijak tenaga, sekali gus dapat menyumbang kepada usaha mengurangkan jejak karbon, dan juga sejajar dengan strategi kelestarian dan komitmen TNB terhadap Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG). 

 

Langkah-langkah berkenaan ialah: 

 

1. Suis peralatan elektrik yang tidak digunakan hendaklah ditutup dan palamnya ditanggalkan bagi mengelakkan arus elektrik terus mengalir.

 

2. Peralatan elektrik yang perlu dipasang berada dalam keadaan baik dan motor di dalam peralatan elektrik bermotor bergerak lancar.

 

3. Semua soket berada dalam keadaan baik dan tidak dibebankan dengan penyesuai (adapter) berlebihan.

 

4. Sekiranya perlu menyalakan lampu kediaman yang ditinggalkan, sila pertimbangkan penggunaan alat pengukur masa (timer) supaya ia tidak menyala 24 jam setiap hari.

 

5. Buka gulungan wayar sambungan tambahan (extension wire) sepenuhnya bagi mengelakkan ia daripada menjadi terlalu panas sepanjang penggunaannya. 

 

"Pengguna juga dinasihatkan supaya menguji Pemutus Litar Arus Baki (PLAB) atau Residual Current Circuit Breaker (RCCB) di kediaman masing-masing, bagi mengesan jika ada sebarang kejanggalan. 

 

"Ini adalah satu amalan yang sebaik-baiknya dilakukan sebulan sekali. Maklumat lanjut untuk mengetahui cara-cara menguji PLAB boleh diakses di laman web www.tnb.com.my atau Facebook TNB Careline," katanya.

 

 

TNB
Suis peralatan elektrik yang tidak digunakan ditutup dan palamnya ditanggalkan bagi mengelakkan arus elektrik terus mengalir.

 

 

Katanya, pengguna boleh menghubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan TNB di talian 15454 atau Facebook TNB CareLine untuk mendapatkan bantuan sekiranya berlaku gangguan bekalan elektrik. - DagangNews.com