KUALA LUMPUR 10 Mac - Tenaga Nasional Berhad (TNB) memeterai perjanjian dengan Seng Hin Rubber (M) Sdn Bhd untuk memasang sistem solar fotovoltaik (PV) yang akan menjimatkan bil elektrik syarikat tersebut sebanyak RM18.78 juta dalam tempoh 21 tahun.
Di dalam Perjanjian Bekalan Tenaga Boleh Baharu (SARE) yang diperoleh melalui anak syarikatnya, GSPARX Sdn Bhd (GSPARX), sistem solar PV akan dipasang atas bumbung kilang Seng Hin di Kuala Krai, Kelantan dengan kapasiti 1.3 MWp (megawatt peak), demikian menurut satu kenyataan bersama hari ini.
Ketua Pegawai Retail TNB, Kamal Arifin A. Rahman berkata, inisiatif teknologi hijau itu bakal mempertingkatkan impak pembangunan mesra alam dan kesejahteraan sejagat, sejajar komitmen TNB terhadap alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
“Perjanjian ini juga merangkumi penyelesaian tenaga pintar lain seperti Green Electricity Tariff (GET) iaitu dari segi kecekapan tenaga dan sistem pemantauan tenaga (EMS) yang dapat mengurangkan pelepasan karbon,” ujar beliau sambil menambah, kerja pemasangan dijadualkan siap pada bulan Ogos 2023.
Menurut Kamal, projek tersebut menepati aspirasi nasional menuju negara neutral karbon menjelang 2050 kerana ia mampu mengurangkan 1,124 tan metrik karbon dioksida setiap tahun bersamaan pemerangkapan gas rumah hijau oleh 20,624 pokok sepanjang tempoh 10 tahun.
Di samping itu, ia juga adalah manifestasi pemerkasaan ESG oleh pihak Seng Hin dari sektor perladangan sebagai pemangkin kepada industri yang setara dalam mengadaptasi pembangunan lestari.
Sementara itu, Pengarah Urusan Seng Hin, Kor Hock Tart berkata, SARE adalah satu perjanjian antara TNB dan GSPARX sebagai pelabur PV Solar Berdaftar (RPVI) dan Seng Hin sebagai pelanggan boleh mempraktikkan amalan hijau dan menyokong agenda kerajaan menuju negara neutral karbon menjelang 2050.
Sehingga kini, GSPARX telah memperoleh 357 projek dengan organisasi komersial, perindustrian & kerajaan, menjana sejumlah 249 MWp kapasiti solar.
Antaranya pelanggannya adalah Mydin Mohamed Holdings Berhad (MYDIN), Sime Darby Property, SIRIM, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Universiti Putra Malaysia (UPM). -DagangNews.com