TNB ubah mGATS jadi platform perdagangan digital utama sijil tenaga boleh baharu Malaysia | DagangNews Skip to main content

TNB ubah mGATS jadi platform perdagangan digital utama sijil tenaga boleh baharu Malaysia

Datuk Seri Baharin Din (kiri) menerangkan mengenai ASEAN Power Grid (APG), salah satu projek bersama terbesar dan paling berwawasan di rantau ini kepada Datuk Seri Fadillah Yusof (tengah) selepas pelancaran mGATS pada IGEM 2023, baru-baru ini. Turut kelihatan, Nik Nazmi Nik Ahmad (dua, kiri) dan Pengerusi TNB, Datuk Abdul Razak Abdul Majid (kanan).
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 21 Nov - Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengumumkan evolusi penting dalam bidang tenaga mampan dengan penjenamaan semula dan transformasi 'Malaysia Green Attribute Trading System (mGATS)'. 

 

Platform digital inovatif itu sedang dinaik taraf untuk menjadi pasaran digital terulung negara bagi Sijil Tenaga Boleh Baharu Malaysia (mREC).

 

mGATS yang pada mulanya diperkenalkan sebagai hub maklumat untuk sijil tenaga boleh baharu empat tahun lalu, kini mengalami perubahan ketara dalam fungsinya, beralih kepada pasaran digital dinamik untuk REC. 

 

mGATS yang dijenamakan semula dijadualkan untuk dilancarkan pada suku pertama 2024.

 

Penjenamaannya dilancarkan di Pameran dan Persidangan Teknologi Hijau serta Produk Eko Antarabangsa Malaysia (IGEM) 2023 oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, yang mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

 

Pelancaran itu turut dihadiri oleh Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), Nik Nazmi Nik Ahmad; timbalan menterinya, Datuk Seri Huang Tiong Sii; Ketua Setiausaha NRECC, Dr Ching Thoo Kim, serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Baharin Din.

 

Fadillah menekankan kepentingan mGATS sebagai platform perdagangan digital perintis yang bertujuan untuk memperkukuh program Tarif Elektrik Hijau (GET) Malaysia yang sedia ada. 

 

 

tnb
Datuk Seri Fadillah Yusof (tengah) merasmikan pelancaran penjenamaan semula mGATS di IGEM 2023, baru-baru ini. Turut kelihatan, Nik Nazmi Nik Ahmad (dua, kanan), Huang Tiong Sii (dua, kiri), Dr Ching Thoo Kim (kanan); dan Datuk Seri Baharin Din (kiri).

 

 

Beliau berkata, program perdagangan baharu itu memperkasakan pengguna dan syarikat yang mementingkan alam sekitar dengan komitmen alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) untuk mengimbangi jejak karbon mereka daripada penggunaan elektrik.

 

Berucap pada majlis sama, Nik Nazmi berkata, peningkatan pengeluaran tenaga boleh baharu dalam sektor tenaga sejajar dengan peningkatan permintaan untuk elektrik hijau, terutamanya daripada syarikat dan organisasi multinasional, termasuk penyertaan daripada ahli korporat global RE100 yang komited kepada 100% tenaga boleh baharu.

 

Beliau menekankan peranan penghijauan grid elektrik dalam memudahkan perniagaan hijau baharu, dan peluang pelaburan, serta mengembangkan nilai ekonomi negara. 

 

Nik Nazmi menegaskan kepentingan inisiatif seperti Program Pemeteran Tenaga Bersih (NEM), Program Tenaga Hijau Korporat, dan Program GET, yang membolehkan perniagaan mengakses tenaga elektrik hijau dan memenuhi komitmen ESG serta Skop 2 Gas Rumah Hijau (GHG) mereka.

 

"Akan datang, NRECC dengan kerjasama TNBX Sdn Bhd (anak syarikat milik penuh TNB), akan menaik taraf mGATS sedia ada kepada platform perdagangan REC sepenuhnya, yang membolehkan pertukaran komersial REC dijalankan di Malaysia. Ini akan memberikan pilihan yang lebih besar kepada perniagaan dalam memenuhi komitmen ESG masing-masing," tambah Nik Nazmi.

 

Baharin berkata, pelancaran mGATS yang dijenamakan semula menandakan satu pencapaian penting dalam perjalanan Malaysia ke arah masa depan tenaga yang lebih hijau dan mampan. 

 

Beliau berkata, inisatif ini sejajar dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang menyasarkan 70% bekalan tenaga primer Malaysia datang daripada tenaga boleh baharu menjelang tahun 2050.

 

mGATS yang dinaik taraf akan memberikan manfaat besar kepada pelanggan perniagaan, menawarkan cara yang telus dan mesra pengguna untuk mendapatkan tenaga elektrik hijau, terutamanya bagi mereka yang menyasarkan matlamat penggunaan tenaga boleh baharu sebanyak 100%.

 

"Apabila platform mGATS yang baharu beroperasi pada suku pertama 2024, entiti komersial dan perindustrian yang berminat untuk mendapatkan mREC bagi elektrik hijau secara tidak langsung boleh mengambil bahagian dalam platform pembidaan. mGATS akan berkembang dari semasa ke semasa untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan kami dalam usaha mereka mencari tenaga elektrik hijau," tambah beliau.

 

mREC merupakan instrumen berasaskan pasaran yang memperakui pemilikan elektrik yang dijana daripada sumber tenaga boleh baharu di Malaysia, khususnya bagi menangani pelepasan protokol gas rumah hijau di bawah Skop 2 yang berkaitan dengan penjanaan tenaga elektrik, membezakannya daripada kredit karbon yang lebih meluas yang terpakai untuk pelepasan dalam protokol gas rumah hijau Skop 1, Skop 2, dan Skop 3.

 

Sebarang maklumat lanjut mengenai platform mGATS , pelanggan boleh melayari https://www.mgats.com.my/trading dan mendaftar minat mereka. - DagangNews.com