CYBERJAYA 24 Julai - Todak Academy Sdn Bhd (Todak Academy) dan syarikat animasi terkemuka tempatan, Warnakala Studios Sdn Bhd menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi menjalin kerjasama mengadakan program berkaitan bidang kreatif dan animasi.
Bagi meneruskan usaha Todak Academy membantu pembangunan serta meningkatkan peluang pekerjaan di Malaysia, sebuah program sijil profesional dalam bidang kreatif dan animasi akan diwujudkan menerusi kepakaran dan kemahiran yang dimiliki kedua-dua pihak.
MoU tersebut juga bertujuan melahirkan lebih ramai golongan belia berkemahiran dan mempunyai kepakaran dalam bidang kreatif dan animasi, sekali gus membuka peluang kerjaya kepada golongan itu.
Pengurus Besar Todak Academy, Taufik Rizal Aminuddin berkata, pihaknya sentiasa mengambil berat berkenaan peluang pekerjaan untuk belia, selain permintaan yang tinggi bidang animasi.
"Ini sekali gus menjadikan Todak Academy sebagai hab untuk pendidikan serta pembangunan E-sukan, Game Developement dan animasi.
"Dengan adanya sokongan daripada industri, para graduan Todak Academy mendapat peluang pekerjaan yang cerah pada masa akan datang," katanya ketika majlis pemeteraian MoU tersebut, semalam.
Terdahulu, seramai 171 hadir bagi menyertai program sijil profesional anjuran Todak Academy, meliputi program E-sukan, Game Developement dan Digital Business Marketing.
Turut hadir Pengasas Todak, Khairul Azlan Ariffin; Pengarah Kreatif Strategi Warnakala Studios Sdn Bhd, Hairulfaizalizwan Ahmad Sofian; Ketua Pegawai Eksekutif Plusvibes (M) Sdn Bhd, Madiha Fuad dan Presiden Malaysia Electronic Sports Federation (MESF), Datuk Ananth S. Nathan.
Dalam pada itu, Hairulfaizalizwan pula berkata, pihaknya mempercayai kredibiliti Todak Academy selaku penyedia latihan dan sememangnya berkait rapat dengan apa yang dilakukan di Warnakala Studios.
"Kami memerlukan belia yang berkemampuan dalam bidang yang berkait rapat, maka dengan itu kami perlukan kelengkapan daripada Todak Academy untuk memastikan pelajar lepasan mereka mempunyai kualiti yang terbaik," katanya.
Sementara itu, dalam majlis tersebut turut diadakan pemeteraian MoU antara Plusvibes dan MESF, berhubung kesihatan mental dalam komuniti E-sukan. - DagangNews.com