Tol percuma di semua lebuh raya pada esok dan Jumaat sempena Tahun Baharu Cina | DagangNews Skip to main content

Tol percuma di semua lebuh raya pada esok dan Jumaat sempena Tahun Baharu Cina

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 7 Feb - Kerajaan bersetuju memberikan tol percuma selama dua hari pada 8 dan 9 Februari kepada para pengguna lebuh raya bagi kenderaan Kelas 1 (persendirian) bersempena dengan sambutan perayaan Tahun Baharu Cina.

 

Pemberian tol percuma ini akan dilaksanakan di kesemua lebuh raya bermula jam 12.01 tengah malam 8 Februari (Khamis)  dan akan berakhir pada 11.59 malam, 9 Februari (Jumaat).

 

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pemberian tol percuma ini melibatkan implikasi kewangan yang dianggarkan berjumlah RM42.99 juta.

 

tol

 


"Pengecualian tol akan diberikan kepada kenderaan Kelas 1 (persendirian) sahaja di semua plaza tol kecuali plaza tol di sempadan negara iaitu Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Plaza Tol Tanjung Kupang, Johor,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Menurut Alexander, pemberian tol percuma itu sebagai tanda prihatin dan sama-sama ingin berkongsi kegembiraan bersama rakyat Malaysia yang menyambut Tahun Baharu Cina.

 

"Ia juga selari dengan aspirasi  Kerajaan Perpaduan yang menitikberatkan soal kebajikan rakyat dan sentiasa membantu meringankan kos sara hidup rakyat," jelasnya.

 

Menurut Alexander, pelaksanaan pemberian tol percuma ini diharapkan dapat dimanfaatkan pengguna lebuh raya dengan merancang perjalanan sewajarnya dan dinasihatkan mematuhi cadangan jadual waktu perjalanan atau travel time advisory (TTA) yang disyorkan.

 

"Aspek keselamatan serta pemanduan selamat perlulah dipatuhi supaya semua pengguna lebuh raya dapat sampai ke destinasi dengan selamat dan sambutan perayaan Tahun Baru Cina ini akan menjadi lebih bermakna bersama keluarga tercinta," katanya.

 

Beliau turut menasihatkan pengguna untuk mendapatkan rehat secukupnya dan memastikan baki kad Touch 'n Go serta eWallet adalah mencukupi.

 

Pengguna boleh menyemak status trafik atau sebarang insiden di lebuh raya yang akan dikemaskini di media sosial rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) iaitu di Facebook : Lembaga Lebuhraya Malaysia atau di aplikasi X @LLMtrafik secara berkala.

 

Pengguna lebuh raya juga boleh menghubungi Pusat Pengurusan Trafik LLM di talian 1-800-88-7752 untuk mendapatkan maklumat terkini keadaan trafik atau bantuan.

 

RINGKASAN PEMBERIAN TOL PERCUMA SEMPENA SAMBUTAN PERAYAAN TAHUN BARU CINA TAHUN 2024

  • Pemberian tol percuma bersempena Tahun Baharu Cina pada 8 dan 9 Februari 2024.
  • Bermula jam 12.01 pagi pada 8 Februari 2024 sehingga jam 11.59 malam pada 9 Februari 2024.
  • Implikasi kewangan dianggarkan berjumlah RM42.99 juta.
  • Anda dinasihatkan mematuhi cadangan waktu perjalanan atau Travel Time Advisory (TTA).- DagangNews.com