Tomei optimis permintaan emas kekal stabil walaupun harga semasa mahal | DagangNews Skip to main content

Tomei optimis permintaan emas kekal stabil walaupun harga semasa mahal

KUALA LUMPUR 12 Mei - Tomei Consolidated Bhd optimis permintaan emas akan kekal stabil walaupun harga semasa lebih tinggi, sekali gus memastikan pengeluar dan peruncit barang kemas kekal untung pada tahun kewangan 2023 (FY 2023).

 

Pengarah Urusan Datuk Ng Yih Pyng berkata perbelanjaan emas untuk tujuan kebudayaan dan pelaburan akan terus kekal walaupun terdapat pelbagai kebimbangan yang semakin meningkat.

 

Dari segi runcit domestik, beliau berkata harga emas meningkat tiga kali ganda tahun ini dan masih mempunyai ruang untuk terus meningkat.

 

“Secara amnya, saya fikir ekonomi Malaysia akan terus berkembang tetapi sudah tentu, terdapat sedikit tekanan terhadap inflasi dan (ketersediaan) pendapatan boleh guna secara amnya mungkin terjejas sedikit.

 

"Setelah berkata demikian, kami sepatutnya boleh terus untung dan kami berharap dapat mencapai (sasaran) jualan kami," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat agung tahunan Tomei di sini hari ini.

 

Ng, bagaimanapun, tidak mendedahkan sasaran Tomei untuk tahun tersebut.

 

Mengenai pasaran global, beliau berkata harga emas, yang kini diniagakan antara AS$1,900 dan melebihi AS$2,000 seaun, akan kekal positif disokong oleh permintaan daripada bank pusat.

 

Pengerusi Raja Tan Sri Aman Raja Ahmad berkata banyak bank pusat menukar bon berdenominasi AS mereka kepada emas.

 

"BRICS (Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan), semuanya disokong oleh emas," tambahnya.

 

Pada FY 2022, keuntungan bersih Tomei meningkat dua kali ganda kepada RM65. 89 juta daripada RM32.77 juta setahun sebelumnya dalam keadaan volum jualan yang lebih tinggi.

 

Hasil melonjak kepada RM974.31 juta daripada RM736.07 juta sebelumnya. - BERNAMA