Tony Fernandes gesa SIA telus sepenuhnya isu pengambilan staf kejuruteraan Malaysia Airlines | DagangNews Skip to main content

Tony Fernandes gesa SIA telus sepenuhnya isu pengambilan staf kejuruteraan Malaysia Airlines

Pengasas AirAsia dan CEO Capital A Bhd, Tan Sri Tony Fernandes.
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 13 Sept - Pengasas AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes menggesa SIA Engineering Company Ltd (SIAEC) bersikap setelus-telusnya dalam isu pengambilan kakitangan kejuruteraan Malaysia Airlines yang menjadi perhatian ramai ketika ini.

 

Malah bukan sahaja unit Singapore Airlines (SIA) menjadi sasarannya, bahkan Ketua Pegawai Eksekutif Capital A Bhd itu juga mendesak Singapura untuk terbuka sepenuhnya dalam pasaran mereka.

 

Menerusi hantaran di LinkedIn beliau bertajuk 'SIA Engineering Mengatakan Hanya Mengambil 10 Peratus Kakitangan Teknikal MAS', Tony memulakan catatan dengan berkata:

 

"Kini tiba masanya untuk bersikap TELUS SEPENUHNYA dan untuk SINGAPURA terbuka sepenuhnya dalam pasaran mereka," kata tokoh industri penerbangan itu.

 

Tony kemudian mengemukakan dua soalan kepada SIA Engineering dengan yang pertama dari manakah datangnya 90 peratus lagi dan gaji apa yang anda bayar? 

 

"Mari kita jadi telus. Adakah 90 peratus anda semuanya baru tamat sekolah?," soalnya sinis sebagai respons kepada kenyataan seorang pegawai kanan SIAEC semalam bahawa tidak sampai 10% pekerja baharunya di negara ini datang daripada cabang kejuruteraan Malaysia Airlines..

 

 

 

Menurutnya, beliau yang merupakan pendukung pasaran bebas menyokong kehadiran operasi SIA Engineering di Malaysia kerana ia baik untuk negara.

 

"Saya seorang penyokong pasaran bebas. Saya tidak pernah menghalang Batik Air, SKS atau MyAirlines," jelasnya.

 

sia
Gambar SIAEC

 

Namun kata Tony, rakyat ASEAN, Singapura dan Malaysia perlu tahu bahawa selama 10 tahun atau mungkin lebih, pihaknya telah cuba untuk mendapatkan kelulusan bagi AirAsia Singapura. 

 

"Kami berada di 5 negara ASEAN. Rakyat Singapura mempunyai pilihan yang sedikit. Saya juga pernah cuba membeli sebuah LCC (syarikat penerbangan kos rendah) di sana tetapi ditolak.

 

"Jika anda mahu ASEAN yang terbuka, Singapura perlu berhenti melindungi dan mempunyai persaingan sebenar seperti yang dimiliki Malaysia dan negara ASEAN lain," tegasnya.

 

SIA Engineering Co Ltd (SIAEC), cabang penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) Singapore Airlines Ltd semalam berkata, tidak sampai 10% pekerja baharunya di negara ini datang daripada cabang kejuruteraan Malaysia Airlines.

 

Naib Presiden Kanan penyelenggaraan pangkalannya Jeremy Yew menjawab dakwaan baru-baru ini bahawa pemergian 63 daripada 411 jurutera dari Perkhidmatan Kejuruteraan MAB ke SIAEC sebahagiannya dipersalahkan atas gangguan penerbangan Malaysia Airlines. - DagangNews.com