Top Glove tidak naikkan ASP walaupun berdepan kenaikan 15% harga lateks - AmInvestment | DagangNews Skip to main content

Top Glove tidak naikkan ASP walaupun berdepan kenaikan 15% harga lateks - AmInvestment

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 15 Feb - Top Glove Corp Bhd tidak menaikkan purata harga jualan (ASP) sarung tangan walaupun berdepan kenaikan 15% harga lateks sepajang bulan lalu.

 

AmInvestment Bank Research berkata, langkah itu dibuat berdasarkan permintaan yang perlahan dalam pasaran selain saingan berterusan daripada Sri Trang Gloves.

 

Katanya, kumpulan itu berhasrat untuk mengimbangi kelemahan itu dengan skala ekonomi yang lebih besar daripada sarung tangan nitril.

 

"Walaupun pengurangan harga bahan input sejak Disember 2023, ASP untuk sarung tangan nitril kekal tidak berubah bagi memudahkan pengembangan margin.

 

"Kami melihat strategi penetapan harga ini lebih agresif daripada beberapa pesaing tempatan kerana mereka menurunkan ASP dalam suku keempat 2023 menerusi kos yang lebih rendah.

 

"Top Glove memiliki struktur kos tertinggi dalam empat syarikat sarung tangan utama pada suku ketiga 2023," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Peningkatan kualiti operasi dan kawalan kos, rugi bersih Top Glove susut kepada RM57.71 juta pada 1QFY24

 

Firma penyelidikan itu berkata, krisis Laut Merah baru-baru ini dijangka memberi kesan minimum kepada kumpulan itu dengan julah jualan dari suku tahun ke suku tahun berada antara 15% hingga 20% pada 2QFY24.

 

Mereka mengaitkan sisihan itu kepada pendedahan hasil 1QFY24 Top Glove kepada wilayah yang kurang terjejas seperti Asia (32%), Amerika Latin (12%) dan Eropah Timur (12%).

 

"Pemulihan permintaan sarung tangan getah perubatan yang berterusan sejak Disember 2023, dengan sarung tangan nitril bertambah baik dengan ketara berbanding sarung tangan getah lateks.

 

"Kami mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga wajar (FV) 68 sen sesaham," katanya. - DagangNews.com