TotalEnergies, ARUS Academy bekerjasama tingkatkan kesedaran keselamatan jalan raya kepada pelajar sekolah | DagangNews Skip to main content

TotalEnergies, ARUS Academy bekerjasama tingkatkan kesedaran keselamatan jalan raya kepada pelajar sekolah

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 14 Dis - Program 'VIA Safe Mobility Malaysia 2023' anjuran bersama TotalEnergies Malaysia dan ARUS Academy menarik lebih 2,000 pelajar dari seluruh Malaysia dalam usaha bagi meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya dalam kalangan mereka.

 

Selain itu, program itu juga memupuk dan memberdayakan generasi muda sebagai duta keselamatan jalan raya untuk menyebarkan kesedaran di sekolah dan komuniti mereka.

 

Pegawai Penyelidik Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Jennifer Li berkata, program VIA Safe Mobility menekankan kepentingan memupuk nilai-nilai keselamatan jalan raya daripada usia muda. 

 

Beliau berkata, TotalEnergies adalah syarikat multi-tenaga yang menyediakan rumusan tenaga rendah karbon serta penyelesaian mobiliti. 

 

Katanya, sebahagian daripada usaha pembangunan mampan syarikat adalah untuk memberi tenaga kepada kehidupan dan komuniti dengan menyumbang kepada kesejahteraan komuniti melalui inisiatif keselamatan jalan raya. 

 

"Program VIA Safe Mobility mempunyai tempat istimewa dalam hati kami kerana ia mencerminkan komitmen kami untuk memupuk komuniti yang bertanggungjawab dan mempromosikan keselamatan jalan raya. 

 

"Inisiatif ini melampaui batasan bilik darjah, ia meluas ke jalan-jalan yang dilalui pelajar setiap hari dan komuniti tempat mereka tinggal. 

 

 

totalenergies

 

 

"Kami berbangga dengan impak yang kami laksanakan dan berharap kejayaan berterusan duta-duta muda ini dalam membentuk masa depan lebih selamat untuk rakan sebaya dan komuniti bersama ARUS Academy sebagai rakan kerjasama," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama ARUS Academy, Alina Amir pula berkata, pihaknya berbesar hati untuk berkerjasama dengan TotalEnergies Malaysia dalam Program VIA Safe Mobility. 

 

 

totalenergies

 

 

"Memberdayakan belia menjadi duta keselamatan jalan raya bukan hanya tentang melindungi nyawa hari ini tetapi memastikannya lebih selamat pada hari esok. Dedikasi yang ditunjukkan pelajar dan sokongan daripada semua pihak berkepentingan adalah bukti kejayaan program ini," katanya.

 

 

totalenergies

 

 

Sejak dilancarkan pada Julai 2022, program VIA Safe Mobility Malaysia memberi kesan positif kepada 43,150 pelajar berumur 10 hingga 16 tahun di Malaysia. 

 

Pada tahun ini, program itu dilaksanakan di 137 buah sekolah di seluruh Malaysia, dengan 42 sekolah menyertai pertandingan melukis poster keselamatan jalan raya. - DagangNews.com