TP Mah Sing dinaikkan RM2 sesaham susulan pelaburan dalam pusat data - RHB Investment | DagangNews Skip to main content

TP Mah Sing dinaikkan RM2 sesaham susulan pelaburan dalam pusat data - RHB Investment

Majlis pelancaran Mah Sing DC Hub@Southvile Citu yang disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof semalam.
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 31 Mei - RHB Investment Bank meningkatkan harga sasaran (TP) Mah Sing Berhad kepada RM2 sesaham daripada RM1.58 bagi mencerminkan kenaikan nilai yang muncul daripada pelaburan dalam pusat data.

 

Menurut firma penyelidikan itu, usaha niaga sulung dalam segmen pusat data bersama Bridge DC Malaysia V (BDC) patut menjana sumber pendapatan berulang baharu buat Mah Sing apabila pusat data ini siap pada tahun kewangan 2026 (FY26).

 

"Saranan Beli kekal, dengan TP baharu menaik kepada RM2.00 sesaham daripada RM1.58, potensi kenaikan 17% dan kadar hasil dividen sekitar 3% untuk FY24F.

 

"TP kami yang diraih menerusi kaedah SOP (premium/diskaun ESG 0% diperhitungkan) sekarang mencecah paras lebih tinggi apabila kami mengambil kira nilai yang timbul daripada pelaburan dalam pusat data dengan BDC ini, berdasarkan EV/EBITDA 15x. 

 

"Penilaian ini setara dengan penilaian yang diberi kepada syarikat-syarikat lain yang mengusahakan pusat data," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Jelas RHB Investment, selain kerjasama dengan BDC, pihak pengurusan juga secara rasminya melancarkan Mah Sing DC Hub @ Southville City semalam. 

 

Katanya, kira-kira 150 ekar tanah di Southville City sudah ditetapkan untuk pembinaan DC Hub ini dengan rancangan kapasiti sehingga 500MW. 

 

south

 

"BDC ialah rakan kongsi pertama yang menduduki tanah seluas 17.55 ekar, dengan kapasiti yang dirancang sehingga 100MW. 

 

"Berdasarkan nilai tanah RM160 setiap kaki persegi, jumlah kos tanah bagi 17.55 ekar tersebut ialah RM122 juta. 

 

"Di samping kos-kos lain yang akan ditampung (prasarana penting, pembinaan, kelulusan, menyiapkan semua laporan yang diwajibkan dan sebagainya.), Mah Sing mungkin akan menerima sekurang-kurangnya 20% pegangan ekuiti dalam kerjasama ini (jumlah capex sekitar RM2-RM3 bilion). 

 

"BDC bertanggungjawab meraih pelanggan dari bidang kecerdasan buatan (AI) dan pusat data skala besar dan mengendalikan kelengkapan dalaman dan operasi harian," ujarnya.

 

Tambah RHB Investmen, usaha sama bersama BDC dan juga beberapa pusat data yang bakal dibina di DC Hub, Mah Sing dilihat mengembangkan sumber pendapatan berulangnya. 

 

"Pembinaan BDC ini dijangka memakan masa 18 bulan, dan pendapatan sulung kepada kumpulan ini sepatut mula diterima pada separuh dua 2026 (2H26). 

 

"Mengikut data perolehan oleh Chindata Group (syarikat induk BDC), kapasiti 100MW berpotensi untuk menjana hasil MYR650j setahun," katanya.

 

Dalam pada itu, kata firma penyelidikan itu, keputusan 1Q24 yang dicatatkan Mah Sing dilihat selari dengan jangkaan. 

 

"Jualan hartanah selama lima bulan pertama 2024 mencecah RM992 juta dan berada dalam landasan untuk mencapai sasaran RM2.5 bilion yang ditetapkan apabila lebih banyak hartanah dijadualkan untuk pelancaran pada separuh tahun kedua," ujarnya.- DagangNews.com