Transparency International Malaysia persoal ketiadaan proses tender dalam isu DRT dikaitkan suami Hannah Yeoh | DagangNews Skip to main content

Transparency International Malaysia persoal ketiadaan proses tender dalam isu DRT dikaitkan suami Hannah Yeoh

Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 29 Mei - Transparency International Malaysia (TI-M) mempersoalkan ketelusan memproses tender yang menggunakan rundingan terus bagi Projek Rintis Demand Responsive Transit (DRT) oleh kerajaan negeri Selangor.

 

Presidennya, Dr Muhammad Mohan berkata, projek tersebut dikendalikan oleh Syarikat Asia Mobility Technologies Sdn Bhd dan dijalankan di Lembah Klang.

 

“Apa yang lebih menarik, Ketua Pegawai Eksekutif syarikat tersebut, Ramachandran Muniandy merupakan suami Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

 

 

“Persoalannya, mengapa tiada proses tender? Beliau merupakan seorang daripada menteri yang dilihat berdedikasi dan cekap dalam kabinet.

 

“Isu ini akan dilihat secara negatif oleh ramai dan akan meletakkan beliau dalam keadaan yang amat sukar,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

 

 

Dr Muhammad Mohan
               Dr Muhammad Mohan


 

Sebelum ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan kontrak yang diterima oleh suami Hannah Yeoh daripada kerajaan Selangor tidak mengandungi sebarang kesalahan.

 

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, tender itu diberikan oleh satu entiti lain yang tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan tugas dan tanggungjawab menteri berkenaan.

 

Bagaimanapun, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerahkan kuasa kepada pihak bertanggungjawab untuk siasatan isu pemberian kontrak Projek Rintis Demand Responsive Transit (DRT) oleh Kerajaan Selangor kepada syarikat milik bersama suami Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

 

“Sekiranya ada laporan, pihak bertanggungjawab perlu bersikap telus dalam proses siasatan,” kata Perdana Menteri.

 

Muhammad Mohan turut menggesa Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk campur tangan dalam urusan pelantikan terus syarikat tersebut.

 

Beliau berkata, ia disebabkan bertentangan dengan apa yang dijanjikan oleh Kerajaan Madani sebelum ini.

 

“Kami menggesa kerajaan negeri melakukan proses tender yang telus sebelum ia menjejaskan persepsi rakyat terhadap komitmen reformasi dan pencegahan rasuah,” jelasnya.

 

Beliau menjelaskan bahawa masih wujud amalan rundingan langsung bertopengkan keperluan teknikal dan pemberian kontrak kepada kroni atas nama meritokrasi.

 

Katanya lagi, perbuatan tersebut perlu dihapuskan kerana itu merupakan Kerajaan Perpaduan selepas Anwar memegang jawatan sebagai Perdana Menteri. - DagangNews.com