KUALA LUMPUR 3 Mei - Treasure Global Inc, sebuah platform e-dagang inovatif bekerjasama dengan Shell melancarkan kempen bagi memberi peluang kepada pengguna memenangi minyak petrol percuma selama enam bulan apabila berbelanja melalui aplikasi ZCITY.
Kempen tersebut yang berlangsung sehingga 30 Jun 2023 membolehkan pengguna membelanjakan sekurang-kurangnya RM30 melalui e-baucar ZCITY dengan membeli petrol daripada peruncit terkemuka, layak memasuki cabutan bertuah untuk memenangi hadiah tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif TGI, Sam Teo berkata, syarikat akan memilih seramai 45 pemenang sepanjang tempoh kempen dan setiap pemenang juga akan menerima hadiah misteri.
Katanya, pihaknya melaksanakan pelan pemasarannya secara strategik termasuk kerjasama dengan peruncit terkemuka untuk memacu trafik pengguna ke platform ZCITY.
"Kami bangga dengan peningkatan pengguna yang telah kami capai dalam tempoh singkat sejak penubuhan syarikat dan berharap kempen ini berjaya mencapai matlamat di mana kedua-dua pelanggan dan pangkalan data tanggapan pengguna kami menerima manfaat," katanya dalam kenyataan hari ini.
Pengurus Projek ZCITY, Mandy Wong pula berkata, pihaknya mahu lebih ramai pengguna menikmati ganjaran mengisi minyak secara percuma, terutamanya pada penghujung tahun ini apabila ramai orang memandu ketika musim percutian atau balik kampung untuk menyambut Tahun Baharu.
"Kami berbesar hati dapat menawarkan kempen ini kepada pelanggan dan mencapai salah satu objektif utama kami, iaitu memberikan ganjaran 'Rewards-on-Rewards'," katanya.
Pengguna perlu mengumpul perbelanjaan minimum RM30 melalui e-baucar ZCITY pembelian petrol daripada Shell, melalui kaedah pembayaran seperti kad kredit, FPX, Boost Wallet, Touch 'n Go eWallet, GrabPay Online, dan ShopeePay.
Pengguna juga boleh menikmati diskaun tambahan dengan penggunaan Zcoins yang memberikan insentif tambahan untuk berbelanja. - DagangNews.com