KUALA LUMPUR 26 Jan - Tropicana Corporation Bhd menerusi anak syarikatnya, Tropicana Macalister Avenue (Penang) Sdn Bhd menjual Courtyard by Marriott Penang jumlah pertimbangan tunai sebanyak RM165 juta.
Tropicana Macalister telah menandatangani perjanjian jual beli (SPA) dengan IOI PFCC Hotel Sdn Bhd, iaitu anak syarikat tidak langsung IOI Properties Group Bhd.
Pelupusan hotel tersebut dibuat atas dasar ‘pembeli sanggup penjual rela’ dan menjana lebihan tunai kira-kira RM80.8 juta, yang akan digunakan Tropicana untuk mengurangkan kemudahan pembiayaan sedia ada, katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Kumpulan itu berkata, pelupusan tersebut sejajar dengan inisiatif berterusan untuk mengewangkan bank tanah dan hartanah pelaburannya, mengurangkan penggearan bersihnya dan memperbaiki kedudukan kewangannya.
Tropicana menambah bahawa ia akan terus mencatat pendapatan mampan yang disokong oleh RM2.3 bilion jualan tidak dibilkan, kempen jualan hartanah yang berterusan serta prestasi lebih baik daripada jualan hartanah kumpulan berjumlah RM1.4 bilion pada tahun kewangan 2023 (FY23).
“Sejak beberapa bulan lalu, kumpulan telah melaporkan beberapa berita positif, daripada penebusan sukuk yang berjaya, lonjakan hasil yang lebih tinggi kepada pelbagai kejayaan anugerah.
“Kami yakin kumpulan akan terus mengukuhkan kehadiran pasarannya dan menyumbang kepada pendapatan masa depannya disokong oleh jualan belum dibil yang tinggi sebanyak RM2.3 bilion dan pengambilan yang kukuh untuk projek yang sedang berjalan,” kata pengurusan Tropicana dalam kenyataan itu.
Ia menegaskan bahawa ia yakin dapat mencapai pelan pelupusan strategik dan akan terus melancarkan kempen jualan yang berkesan untuk memacu pertumbuhan, terutamanya menekankan inisiatif digital dan dalam talian serta usaha bertumpukan pelanggan.
Dibuka pada tahun 2020, Courtyard, yang terletak di tengah-tengah Georgetown, Pulau Pinang, adalah hotel pertama di Malaysia menawarkan 199 bilik dan suite hotel berserta kemudahan hotel.
Jumlah bank tanah Tropicana meliputi 745 hektar, dengan potensi nilai pembangunan kasar (GDV) kira-kira RM120 bilion, meletakkan kumpulan itu dalam kedudukan yang baik untuk membuka kunci nilai bank tanah strategiknya dan menyampaikan prestasi yang mampan dalam beberapa tahun akan datang. - DagangNews.com
![Courtyard by Marriott Penang terletak di Georgetown, Pulau Pinang. [Foto Tropicana]](/sites/default/files/styles/medium_2/public/articles/main_images.jpg?itok=Sc8VeLi-)







