TSR Capital peroleh kontrak pembinaan RM75 juta daripada Sime Darby Property | DagangNews Skip to main content

TSR Capital peroleh kontrak pembinaan RM75 juta daripada Sime Darby Property

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 18 Sept - TSR Capital Berhad menerusi anak syarikat milik penuhnya, TSR Bina Sdn. Bhd. menerima kontrak bernilai RM75 juta daripada Sime Darby Property Berhad bagi kerja-kerja pembinaan di Elmina Business Park 2, Selangor.

 

Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, TSR Capital berkata, kontrak tersebut adalah untuk tempoh 18 bulan dan dijangka siap pada bulan Mac 2026.

 

"Skop kerja di bawah kontrak ini terutamanya berkaitan pembinaan dan penyelesaian kerja pembersihan tapak dan kerja tanah, melibatkan kira-kira 7 juta meter padu penggalian dan pengisian tanah. 

 

"Selain itu, projek ini merangkumi pelan kawalan hakisan dan sedimen, pembinaan dinding penahan dan dinding tanah bertetulang, serta kerja-kerja saluran utama dan pembentungan," katanya hari ini.

 

Tambah TSR Capital, kontrak ini akan menambah dan meningkatkan buku pesanan sedia ada Kumpulan. 

 

"Kontrak ini tidak akan memberi kesan kepada modal saham yang diterbitkan oleh Syarikat tetapi dijangka memberi sumbangan positif kepada pendapatan dan aset bersih setiap saham Kumpulan untuk tahun kewangan yang berakhir 2025 hingga 2026," jelasnya.

 

Menurut Kumpulan itu, tiada Pengarah dan/atau pemegang saham utama syarikat, atau individu yang berkaitan dengan mereka, mempunyai sebarang kepentingan, secara langsung atau tidak langsung, dalam Kontrak tersebut. - DagangNews.com