Tunku Datuk Yaacob Khyra kekal Pengerusi KNM selepas menang sokongan majoriti pemegang saham dalam EGM | DagangNews Skip to main content

Tunku Datuk Yaacob Khyra kekal Pengerusi KNM selepas menang sokongan majoriti pemegang saham dalam EGM

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 16 Okt - Tunku Datuk Yaacob Khyra kekal sebagai Pengerusi KNM Group Berhad selepas majoriti pemegang saham tidak bersetuju beliau disingkirkan dalam mesyuarat agung luar biasa (EGM) hari ini.

 

Perebutan kerusi Lembaga Pengarah antara dua kerabat diraja, Johor dan Negeri Sembilan menyaksikan pertarungan dalam usaha untuk merampas kawalan ke atas kumpulan syarikat KNM, yang mengalami masalah kewangan.

 

ARTIKEL BERKAITAN: KNM: Pertembungan kerabat diraja Johor-Negeri Sembilan merebut kerusi lembaga pengarah

 

Buat pertama kali sejak perebutan bilik lembaga itu berlaku, kakak sulung kepada Sultan Johor iaitu Tunku Kamariah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar telah bersuara dan memberi kata dua kepada pengarah semasa yang diketuai seorang anggota diraja Negeri Sembilan.

 

 

Tunku Kamariah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar
Tunku Kamariah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar

 

 

Susulan EGM hari ini, dua orang pengarah dari pihak Tunku Yacoob akan disingkirkan daripada jawatan pengarah iaitu Tan Sri Dr Zulhasnan Rafique dan Steve Ho Soo Woon.

 

Menurut satu kenyataan media hari ini, Lembaga Pengarah sedia ada KNM di bawah Pengerusi semasa, Tunku Datuk Yaacob Khyra memenangi sokongan majoriti pemegang saham untuk meneruskan kepimpinannya dan melaksanakan strategi pemulihannya dan Skim Pengaturan dengan Pemiutang.

 

ARTIKEL BERKAITAN:  Puteri Johor tidak iktiraf keputusan mesyuarat agung luar biasa KNM, mahu siasatan ke atas pengiraan undi

 

“Sejurus selepas EGM, Tunku Datuk Yaacob Khyra mengucapkan terima kasih kepada semua pemegang saham atas keyakinan, kepercayaan dan sokongan berterusan mereka.

 

“Lembaga Pengarah berbesar hati dengan sokongan daripada pemegang saham dan ingin memaklumkan kepada mereka bahawa Lembaga Pengarah kekal komited sepenuhnya dalam usaha mereka untuk memastikan sasaran penyelesaian hutang mereka dalam tempoh sembilan bulan melalui tawaran awam permulaan (IPO) Borsig, yang seterusnya akan memastikan masa depan menguntungkan dan mampan untuk KNM Group Bhd, pemegang sahamnya dan semua pihak berkepentingan,” katan kumpulan itu.

 

Tunku Yaacob memiliki 9.5% pegangan tidak langsung atau 384.2 juta saham yang dipegang melalui Melewar Industrial Group Bhd.

 

EGM pada hari ini diadakan bagi menyingkirkan lapan orang Lembaga Pengarah yang berada di pihak Tunku Yaacob iaitu Tan Sri Zulhasnan Rafique, Ravindrasingham Balasingham, Yee Hong Ho, Steve Ho Soo Woon, Thulasy Suppiah, Datuk Uwe Ahrens, James Beltran and Datuk Naresh Mohan.

 

Sementara itu, EGM tersebut mencadangkan pembentukan Lembaga Pengarah baharu yang terdiri daripada Tunku Kamariah, Andreas Heeschen, Edwin Silvester Das, Datuk Zaidi Mat Isa, William H Van Vliet III, Flavio Porro, dan Datuk Abd Ghani Yusof- DagangNews.com