KUALA LUMPUR 20 Sept - U Mobile telah menjalin kerjasama dengan Qualcomm dan The Food Merchant (TFM) bagi menjalankan bukti konsep (PoC) dengan rumusan runcit pintar TROLLEE P1 untuk troli beli-belah di cawangan TFM dekat Jalan Ampang.
Menurut satu kenyataan media hari ini, PoC sedang berjalan di cawangan kedai runcit premium antarabangsa tersebut di Pavilion Embassy dan akan berlangsung untuk masa yang terhad sahaja.
Dengan TROLLEE P1, pembeli boleh mencari produk mengikut kategori dan cadangan dengan hanya memasukkan nama produk yang dicari dan mereka boleh menggunakan ciri navigasi pada TROLLEE P1 untuk mencari produk bagi menjimatkan masa.
Pembeli juga boleh mengurus senarai dan belanjawan mereka dengan mengimbas produk menggunakan peranti sebelum meletakkannya ke dalam troli, serta melihat iklan promosi dipaparkan pada skrin apabila pembeli berada berhampiran lokasi produk.
Ciri ‘self-checkout’ pada TROLLEE P1 juga menawarkan pembayaran yang mudah, cepat dan tanpa sentuhan, menghapuskan keperluan untuk pembeli beratur di juruwang.
Bagi peruncit pula, TROLLEE P1 mampu mendapatkan data mengenai corak dan pilihan pembeli, yang boleh dianalisis untuk meningkatkan sistem ganjaran kesetiaan pembeli, menyediakan kandungan pemasaran yang disasarkan, serta meningkatkan kecekapan operasi dengan memudahkan mereka membuat keputusan.
Ketua Pegawai Jualan U Mobile, Alex Tan berkata peruncitan pintar hanyalah permulaan kerana syarikat itu sedang giat berusaha menjalin bekerjasama dengan industri yang berbeza untuk meneroka atau melaksanakan rumusan digital bagi menyumbang kepada cita-cita Malaysia menjadi ekonomi berasaskan teknologi, selaras dengan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).
“Visi kami adalah untuk menjadi penyedia perkhidmatan digital kegemaran Malaysia dan menepati etos itu, kami sentiasa melihat bagaimana kami boleh memanfaatkan inovasi digital untuk meningkatkan industri.
“Dengan industri peruncitan Malaysia yang pulih selepas wabak, kami percaya bahawa ini adalah masa terbaik untuk U Mobile menyediakan kepakaran sambungan kami kepada teknologi kuasa yang meningkatkan pengalaman membeli-belah pasar raya,” katanya.
Naib Presiden Qualcomm Technologies Inc dan Presiden Qualcomm di Taiwan dan Asia Tenggara, ST Liew berkata syarikat itu percaya bahawa masa depan runcit terletak pada penyepaduan teknologi termaju yang lancar.
“Rumusan runcit pintar kami memperkasakan perniagaan untuk mengatasi pengalaman membeli-belah tradisional, mewujudkan persekitaran dinamik di mana pandangan dipacu data memenuhi interaksi yang diperibadikan.
“Dengan menyepadukan rumusan runcit pintar dipacu kecerdasan buatan (AI) dengan lancar, kami bukan sahaja meningkatkan pengalaman pelanggan tetapi juga memangkin transformasi digital yang lebih luas yang mentakrifkan semula landskap perniagaan dan ketersambungan,” ujar beliau. - DagangNews.com