KUALA LUMPUR 14 Mei - UDA Holdings Berhad (UDA) komited memperluaskan cabang perniagaan pelaburan dan pengurusan harta melalui pengurusan Terminal Bas Sungai Nibong, Pulau Pinang yang telah dinaik taraf dengan kos RM7 juta.
Pengurusan terminal milik Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) itu dikendalikan Bahagian Pelaburan dan Pengurusan Harta UDA (UDA PIMD) menerusi kerjasama strategik dengan syarikat pengendali tiket berpusat dan dalam talian, Easybook (M) Sdn Bhd (Easybook).
Presiden / Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Datuk Sr Mohd. Salem Kailany berkata, usaha ini merupakan salah satu strategi UDA dalam membangunkan semula serta memodenkan infrastruktur di kawasan bandar ke arah kesejahteraan komuniti setempat.
Selain itu, katanya, inisiatif tersebut turut bertepatan dengan fokus UDA dalam mempergiat aktiviti keusahawanan dengan menyediakan ruang niaga kondusif.
Terminal tersebut kini mempunyai sembilan ruang niaga dan satu medan selera dengan UDA turut merancang untuk menambah gerai jualan tambahan.
Ini bagi membantu lebih ramai usahawan terutamanya Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) mengembangkan perniagaan dan menjalankan perniagaan di lokasi strategik seterusnya melahirkan usahawan yang berdaya saing.
"UDA optimis meneroka peluang mengendalikan Terminal Bas Sungai Nibong bersama-sama dengan Easybook dalam usaha mengembangkan salah satu cabang perniagaan pelaburan dan pengurusan harta," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Projek menaik taraf dan pengurusan operasi Terminal Bas Sungai Nibong yang berkeluasan 42,112 kaki persegi ini meliputi kerja-kerja membaik pulih dan mengubah suai bangunan terminal dan membina bangunan tambahan.
Selain itu, kerja menaik taraf terminal itu turut merangkumi membaik pulih kawasan tempat letak kereta serta menambaik baik sistem tempat letak kereta, sistem pengurusan terminal dan sistem jualan tiket merangkumi pelaksanaan sistem tiket berpusat dan jualan tiket dalam talian.
Pada 2020, Easybook telah berjaya memperoleh tender bagi projek menaik taraf dan menguruskan Terminal Bas Sungai Nibong yang telah dibina pada tahun 2004 itu.
Pihak Easybook seterusnya menawarkan usaha sama dengan UDA yang mempunyai kepakaran dalam pengurusan bangunan serta terminal bas bagi kerja-kerja naik taraf dan pengoperasian terminal tersebut.
Majlis Perasmian Projek Naik Taraf Terminal Bas Sungai Nibong yang berlangsung di Terminal Bas Sungai Nibong hari ini telah disempurnakan oleh YB Tuan Hng Mooi Lye, Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa.
Turut hadir Datuk Ir. A. Rajendran, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang, Azrudyn Rashid, Ketua Pegawai Operasi Pengurusan Aset Kumpulan UDA dan William Lee, Pengasas dan Pengarah Urusan Easybook.
Sementara itu, William berkata, Easybook berganding dengan UDA untuk menguruskan terminal Sungai Nibong kerana kepakaran agensi itu dalam pengurusan fasiliti dan penyewaan bangunan terminal bas seperti Hentian Duta, Pudu Sentral dan beberapa pusat beli-belah.
Kata beliau, ia antaranya Angsana Johor Bahru Mall, Angsana Ipoh Mall, Angsana Seremban, Pertama Complex dan Cahaya Suria.
"Ini ialah gandingan stretegik, Easybook mempunyai kepakaran dan pengalaman yang meluas dalam membekal dan mengoperasikan Sistem Pengurusan Terminal kepada 200 lebih terminal di ASEAN dan UDA Mall mempunyai kepakaran dalam pengurusan fasiliti dan penyewaan bangunan," katanya dalam ucapan pada majlis tersebut.
Menurut beliau, Terminal Bas Sungai Pinang yang dinaik taraf dan berwajah baru telah dilengkapi dengan sistem dan applikasi yang terkini dan moden, dikenali sebagai Easybook Terminal Management System (ETM) yang melingkungi modul CTS, TOS, PIDS yang diterapkan oleh APAD.
"Kos asal pembangunan terminal ini ialah RM6.2 juta merangkumi pembangunan sistem dan kerja-kerja naik taraf bangunan. Walau bagaimanapun, kos keseluruhan kerja-kerja penaiktarafan Terminal Bas Sungai Nibong ini mencecah RM7 juta lebih.
"Ini adalah disebabkan peningkatan kos bahan binaan dan juga pengibatan kerja-kerja tambahan seperti penyediaan tandas bertaraf 5 bintang, jubin lantai baru, tar dan batu interlocking jalan, penggantian semua kabel, pipes, dan sebagainya. Kos sistem ETM adalah RM3 juta dan lain-lain RM4 juta," ujarnya. - DagangNews.com