UEM Edgenta ambil alih 60% kepentingan dalam 2 firma berpangkalan di UAE berharga RM55.1 juta | DagangNews Skip to main content

UEM Edgenta ambil alih 60% kepentingan dalam 2 firma berpangkalan di UAE berharga RM55.1 juta

KUALA LUMPUR 4 Dis - Anak syarikat milik penuh tidak langsung UEM Edgenta Berhad, Edgenta International Investments LLC (EII) memeterai perjanjian jual dan beli serta perjanjian pemegang saham dengan NW Kaizen Holding Ltd yang berpangkalan di Emiriah Arab Bersatu (UAE) bagi mengambil alih 60% kepentingan ekuiti dalam Kaizen Owner Association Management Services LLC (KOA) dan Kaizen AMS Property Supervision LLC (KAMS).

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, pembelian itu akan dilengkapkan pada harga AED43.2 juta (RM55.1 juta) secara tunai.

 

Perjanjian jual dan beli itu akan diselesaikan pada hari perniagaan kedua selepas EII memperoleh lesen komersial yang dipinda bagi Kaizen Group untuk menunjukkan pindahan saham jualan atau tempoh lain yang mungkin dipersetujui pihak yang terlibat.

 

UEM Edgenta berkata, cadangan pembelian itu sejajar dengan visi Edgenta of the Future 2025 untuk mengembangkan jejak serantaunya di samping meningkatkan tawaran produk dan teknologi dalam pasaran pertumbuhan tinggi seperti Dubai, dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) secara amnya.

 

“Berasaskan kehadiran sedia ada UEM Edgenta dalam pengurusan kemudahan UAE melalui Operon Middle East, cadangan pembeian itu memberikan peluang untuk menyepadukan dan menawarkan platform perkhidmatan hartanah dengan menggabungkan pengurusan hartanah dan pengurusan kemudahan merentas rantaian nilai perkhidmatan hartanah untuk pasaran UAE dan berpotensi berkembang ke rantau Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang lebih luas,” katanya, lapor Bernama.

 

Operon Middle East ialah anak syarikat milik penuh UEM Edgenta.

 

UEM Edgenta memaklumkan bahawa platform itu akan memberi manfaat kepada Operon melalui akses yang diperbesar kepada pelanggan dengan potensi perolehan dan sinergi kos serta menangani keperluan gaya hidup yang semakin meningkat dalam kalangan penduduk, penyewa dan pemilik hartanah.

 

Cadangan pembelian itu dijangka selesai pada suku pertama 2024, menurut UEM Edgenta.- DagangNews.com