UEM, Hexa Renewables dan Itramas bangunkan projek solar 500MW pertama di Johor | DagangNews Skip to main content

UEM, Hexa Renewables dan Itramas bangunkan projek solar 500MW pertama di Johor

(Depan, dari kiri) Ketua Pegawai Eksekutif Hexa Renewables, Vince Choi; Pengerusi UEM Lestra dan Pengarah Urusan Kumpulan UEM, Datuk Mohd Izani Ghani; Pengarah Urusan Kumpulan Itramas, Lee Choo Boo dan Pengerusi Itramas, Datuk Khairuddin Ibrahim. (Belakang, dari kiri) Rakan Kongsi Kanan I Squared Capital, Harsh Agrawal; Pengerusi UEM Group, Datuk Amran Hafiz Affifudin; dan Pengarah Eksekutif Itramas, Tunku Hammam Tunku Sulong.
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 19 Jan - UEM Group Berhad menerusi anak syarikatnya, UEM Lestra Berhad bersama Hexa Renewables Malaysia Sdn Bhd dan Itramas Corporation Sdn Bhd telah memeterai dua perjanjian untuk bekerjasama membangunkan loji janakuasa solar hibrid 500 megawatt (500MW) pertama di Segamat, Johor.

 

Perjanjian pertama melibatkan pemegangan saham UEM Lestra dan Hexa Renewables, untuk membentuk syarikat usaha sama (JV) yang dikenali sebagai Lestra Hexa JV Sdn Bhd, dengan masing-masing memiliki 51% dan 49% pegangan.

 

Sementara itu, kedua adalah perjanjian kerjasama teknikal di antara Lestra Hexa JV dan Itramas, yang merupakan syarikat pembangunan loji jana kuasa solar, penyedia perkhidmatan dan EPCC (kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan) di Malaysia.

 

Di bawah perjanjian ini, Itramas akan menyediakan perkhidmatan teknikal dalam membangunkan satu pakej EPCC yang lengkap buat Lestra Hexa JV.

 

Pengarah Urusan UEM Group merangkap Pengerusi UEM Lestra, Datuk Mohd Izani Ghani berkata, selain membentuk kerjasama secara rasmi dengan Hexa Renewables dan Itramas, mereka juga telah mendapat kawasan tanah bersesuaian di Segamat sebagai tapak loji jana kuasa solar hibrid 500MW ini.

 

 

(Duduk, dari kiri) Ketua Pegawai Eksekutif Hexa Renewables, Vince Choi; Datuk Mohd Izani Ghani; Pengarah Urusan Kumpulan Itramas, Lee Choo Boo telah memeterai dua perjanjian yang disaksikan oleh (duduk, kanan) Pengerusi Itramas, Datuk Khairuddin Ibrahim, (berdiri, dari kiri) Rakan Kongsi Kanan I Squared Capital, Harsh Agrawal; Pengerusi UEM Group, Datuk Amran Hafiz Affifudin; dan Pengarah Eksekutif Itramas, Tunku Hammam Tunku Sulong.
(Duduk, dari kiri) Ketua Pegawai Eksekutif Hexa Renewables, Vince Choi; Datuk Mohd Izani Ghani; Pengarah Urusan Kumpulan Itramas, Lee Choo Boo telah memeterai perjanjian tersebut. Ia turut disaksikan oleh (duduk, kanan) Pengerusi Itramas, Datuk Khairuddin Ibrahim, (berdiri, dari kiri) Rakan Kongsi Kanan I Squared Capital, Harsh Agrawal; Pengerusi UEM Group, Datuk Amran Hafiz Affifudin; dan Pengarah Eksekutif Itramas, Tunku Hammam Tunku Sulong.

 

 

Terdahulu, perjanjian rasmi ini merupakan perkembangan signifikan dalam usaha membangunkan loji jana kuasa solar hibrid satu gigawatt (1GW), yang diumumkan kerajaan pada Julai 2023 di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Kebangsaan (NETR).

 

Pada 27 Julai 2023, ketiga-tiga syarikat tersebut telah menandatangani satu memorandum persefahaman (MoU) bagi UEM Group mempertimbang penyertaannya.

 

"Usaha merealisasikan projek peralihan tenaga strategik dan bernilai tinggi negara ini telah bermula dengan baik.

 

“Perbincangan dengan syarikat-syarikat yang berpotensi untuk menjadi pembeli kuasa solar 500MW ini juga telah berjalan dengan positif dan butiran lanjut akan dimuktamadkan dalam masa beberapa bulan ke hadapan.

 

“Selain itu, kita akan bekerjasama dengan kerajaan berhubung butiran bagi kerangka Akses Pihak Ketiga (TPA) yang akan membolehkan projek ini mula beroperasi,” kata Mohd Izani dalam satu kenyataan media bersama mengumumkan perkembangan terbaharu tersebut.

 

Bagi baki 500MW, beliau berkata perbincangan di antara UEM Lestra dan rakan-rakan perniagaan yang lain sedang berlangsung dan perkembangan lanjut akan dimaklumkan kelak.

 

Dua perjanjian berkenaan telah ditandatangani oleh Mohd Izani, Ketua Pegawai Eksekutif Hexa Renewables, Vince Choi dan Pengarah Urusan Kumpulan Itramas, Lee Choo Boo.

 

Majlis itu disaksikan oleh Pengerusi UEM Group, Datuk Amran Hafiz Affifudin; Rakan Kongsi Kanan I Squared Capital (syarikat induk Hexa Renewables), Harsh Agrawal dan Pengarah Eksekutif Itramas, Tunku Hammam Tunku Sulong. - DagangNews.com