UEM Sunrise berhati-hati optimis terhadap permintaan hartanah pada 2024 - CEO | DagangNews Skip to main content

UEM Sunrise berhati-hati optimis terhadap permintaan hartanah pada 2024 - CEO

KUALA LUMPUR 11 Jan - UEM Sunrise Bhd berhati-hati optimis terhadap permintaan hartanah tahun ini, disokong oleh permintaan berterusan untuk memberi perkhidmatan kepada pasaran pelanggan kelas pertengahan serta permintaan lebih besar untuk produk kediaman di Lembah Klang.

 

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) UEM Sunrise, Sufian Abdullah berkata pemaju hartanah itu sedar dan berhati-hati dengan cabaran dan tidak menjangkakan pemulihan sepenuhnya ke tahap pra-pandemik.

 

"Kami masih positif dan menyedari permintaan pasaran hartanah keseluruhan tetapi tidak terlalu teruja kerana kami sekadar mengambil maklum cabaran dan cuba mengemudi di sekelilingnya sambil berhati-hati dengan kemungkinan kelemahan," katanya kepada media selepas pelancaran aplikasi mudah alih yang dinaik taraf, hUb Prop, di sini hari ini, lapor Bernama.

 

Sementara berhati-hati dengan cabaran global, beliau berkata syarikat tersebut turut terlibat dalam program transformasi melibatkan jenis dan rangkaian produk yang akan dilancarkan dengan unjuran jangka panjang yang bakal diumumkan tidak lama lagi.

 

 

Sufian Abdullah
Sufian Abdullah

 

 

“Beberapa unjuran sedang diperhalusi pada masa ini dan kami juga sedang menunggu keputusan suku keempat sebelum ia boleh dikongsi,” jelasnya.

 

Sehingga kini, UEM Sunrise mempunyai jumlah simpanan tanah kira-kira 3,237 hektar.

 

"Bagi tahun ini, kami merancang untuk menyasarkan secara terpilih ke atas bank tanah yang akan membolehkan kami memudahkan pengembangan di Lembah Klang," katanya.

 

Mengulas tentang aplikasi hUb Prop, Sufian berkata aplikasi mudah alih itu berfungsi sebagai saluran layan diri untuk pengguna mendapatkan perkhidmatan dan maklumat terpilih tentang UEM Sunrise.

 

Ia turut menawarkan pelbagai perkhidmatan yang direka untuk meningkatkan perjalanan membeli rumah serta akses kepada ganjaran menerusi program kesetiaan pelanggan UEM Sunrise, Trésor. - DagangNews.com