UEM Sunrise dijangka jadi proksi pemulihan pasaran hartanah Iskandar, RHB Investment naikkan taraf saranan kepada ‘beli’ | DagangNews Skip to main content

UEM Sunrise dijangka jadi proksi pemulihan pasaran hartanah Iskandar, RHB Investment naikkan taraf saranan kepada ‘beli’

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 17 Julai - RHB Investment menaikkan taraf saranan saham UEM Sunrise Berhad kepada ‘beli’ daripada ‘neutral’ dengan harga sasaran (TP) dinaikkan kepada 70 sen sesaham daripada 28 sen, menjadikannya pilihan utama sektor hartanah.

 

Firma penyelidikan itu percaya UEM Sunrise akan menjadi proksi untuk pemulihan pasaran hartanah Iskandar sebagai pemilik tanah utama di sana antara pemain tersenarai.

 

Sementara Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru-Singapura yang telah siap 36% sudah memberikan keterlihatan prospek pertumbuhan, firma itu berpendapat bahawa kebangkitan semula projek kereta api laju (HSR) KL-Singapura baru-baru ini sepatutnya memberikan rangsangan tambahan memandangkan simpanan tanah syarikat itu luas di Gerbang Nusajaya.

 

Dengan 3,189 hektar tanah di Johor, mewakili 92% daripada portfolio bank tanahnya, firma itu melihat UEM Sunrise sebagai proksi terbaik untuk pemulihan pasaran hartanah Iskandar.

 

“Kami dimaklumkan bahawa sesetengah projek menyaksikan peningkatan harga sebanyak 50% dari masa pelancaran kepada pemilikan kosong, dan beberapa projek baharu dilancarkan pada harga RM1,000 sehingga 1,200 kaki persegi dan ia terjual dengan baik,” ujarnya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Di samping itu, RHB Investment berkata projek HSR KL-Singapura yang dihidupkan semula merupakan satu lagi rangsangan yang akan meningkatkan sentimen pasaran dalam tempoh terdekat dan memacu pembangunan bandar-bandar kecil di Johor untuk jangka panjang, bergantung kepada lokasi stesen di bawah rancangan baharu.

 

Jika stesen Iskandar Puteri dikekalkan, firma itu berpendapat bahawa UEM Sunrise akan mendapat manfaat memandangkan 995.9 hektar tanahnya di Gerbang Nusajaya.

 

Iskandar Malaysia juga mungkin mendapat manfaat jika program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) dipertingkatkan dari segi dasar, insentif dan faedah.

 

“Kami percaya garis panduan yang disemak akan diumumkan pada separuh kedua tahun ini dan wilayah Iskandar Malaysia akan menjadi salah satu kawasan geografi di Malaysia Barat yang boleh menawan lebih ramai pembeli hartanah asing memandangkan kedudukannya berdekatan dengan Singapura,” tambahnya.

 

Pada waktu penulisan, saham UEM Sunrise didagangkan pada 38 sen, menokok 2 sen atau 5.6% dengan modal pasarannya bernilai RM1.9 bilion. - DagangNews.com