KUALA LUMPUR 26 Jun - Universiti Teknologi Mara (UiTM) akan kekal sebagai institusi pengajian tinggi untuk orang Melayu, Bumiputera, dan Orang Asli, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, mengekalkan dasar UiTM untuk orang Melayu, Orang Asli, dan anak negeri Sabah dan Sarawak masih diperlukan bagi merealisasikan hasrat kerajaan untuk merapatkan jurang antara kaum terutama dalam aspek sosio-ekonomi.
Beliau turut memetik laporan Kongres Ekonomi Bumiputera 2024, yang mendedahkan wujud jurang ekonomi membabitkan Bumiputera dan bukan Bumiputera di negara ini.
BACA: Siapa pencetus penubuhan UiTM?
“Laporan daripada kongres oleh Kementerian Ekonomi menunjukkan masih wujud jurang ekonomi membabitkan Bumiputera dari segi purata pendapatan bulanan, pegangan ekuiti korporat, kadar kemiskinan, keluaran buruh mahir dan kelayakan profesional.
“(Justeru,) kadar kemiskinan mutlak di kalangan Bumiputera masih memerlukan penambahbaikan,” katanya semasa sesi soal jawab menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Zambry berkata demikian sebagai jawapan kepada Ramkarpal Singh, yang bertanyakan sama ada kerajaan bercadang membenarkan bukan Bumiputera belajar di UiTM dengan meminda Akta UiTM 1976.
Tambahnya, UiTM ditubuhkan atas dasar kekurangan tenaga profesional terlatih khususnya dalam kalangan Bumiputera di Malaysia yang kebanyakannya terlibat dalam buruh tidak mahir ketika itu.
“Dengan penubuhan UiTM, lebih ramai belia Bumiputera berpeluang melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi dan dilatih untuk mengisi pelbagai jawatan dalam sektor awam dan perindustrian, yang penting untuk meningkatkan kualiti hidup mereka dan mengubah nasib mereka di Malaysia.
“Ini termasuk menceburi bidang profesional seperti perubatan, perakaunan, undang-undang, kejuruteraan, dan lain-lain,” katanya.
Beliau juga menyebut UiTM sebagai universiti awam ditubuhkan di bawah peruntukan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan seperti yang termaktub dalam Seksyen 1A Akta UiTM 1976.
"Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan termasuk kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk menetapkan kuota untuk orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak, yang menjadi asas agenda Bumiputera untuk kemasukan pelajar UiTM." - DagangNews.com