UiTM kekal kedudukan THE Impact Rankings 2023 kali keempat berturut-turut | DagangNews Skip to main content

UiTM kekal kedudukan THE Impact Rankings 2023 kali keempat berturut-turut

KUALA LUMPUR 2 Jun - Universiti Teknologi Mara (UiTM) menduduki tangga ke 101 hingga 200 daripada 1,591 institusi di seluruh dunia dalam Times Higher Education (THE) Impact Rankings 2023.

 

Universiti berkenaan memperoleh skor keseluruhan 85.9 berbanding 82.8 pada tahun lalu sekali gus mengekalkan kedudukannya untuk empat tahun berturut-turut.

 

Pada masa sama, UiTM terus mengekalkan kedudukannya sebagai universiti kedua tertinggi di negara ini bersama Universiti Malaya dan Universiti Teknologi Malaysia yang turut menduduki tangga sama.

 

THE Impact Rankings mengukur kejayaan sesebuah institusi dalam menjayakan 17 Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berdasarkan kesannya terhadap komuniti dan masyarakat.

 

Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Roziah Mohd Janor berkata, pihaknya berbangga atas peningkatan markah UiTM dalam THE Impact Rankings 2023.

 

"Sebagai sebuah universiti, kami menyokong SDG dengan empat cara iaitu melalui pengajaran, penyelidikan, 'stewardship' dan 'outreach'.

 

"Justeru, prestasi kami dalam THE Impact Rankings mencerminkan inisiatif ke arah menyokong SDGs dan usaha kami untuk menyokong komitmen Malaysia MADANI ke arah kemampanan dan kemakmuran," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Untuk rekod, daripada 17 SDG, UiTM menghantar data untuk lapan SDG pada tahun ini dan menyaksikan peningkatan markah bagi kebanyakan kategori berbanding prestasinya tahun lalu.

 

Tahun ini, UiTM berada pada kedudukan 50 universiti terbaik di seluruh dunia untuk tiga SDG iaitu SDG17 (Partnership for the Goals), SDG5 (Gender Equality), dan SDG16 (Peace, Justice and Strong Institutions).

 

UiTM juga berada pada kedudukan 100 universiti terbaik di seluruh dunia untuk tiga SDG iaitu SDG7 (Affordable and Clean Energy), SDG4 (Quality Education) and SDG 1 (No Poverty).

 

Bagi tiga kategori teratas UiTM tahun ini, UiTM berjaya meningkatkan kedudukannya untuk SDG5 (Gender Equality) apabila mencapai kedudukan ke-33 di seluruh dunia dengan lonjakan 18 tempat daripada kedudukan ke-51 tahun lalu.

 

Buat pertama kali tahun ini, UiTM menyertai SDG16 (Peace, Justice and Strong Institutions) dan berjaya mencapai kedudukan ke-38 di seluruh dunia.

 

Sementara itu, bagi SDG17 (Partnership for the Goals) yang menjadi SDG wajib untuk semua institusi dalam THE Impact Rankings, UiTM menduduki tempat ke-25 di seluruh dunia dengan lonjakan 17 anak tangga daripada kedudukan ke-42 pada tahun lalu.

 

Dua lagi SDG disertai UiTM tahun ini ialah SDG3 (Good Health and Wellbeing) dan buat pertama kali, SDG11 (Sustainable Cities and Communities). - DagangNews.com