UiTM, UIAM meterai MoU perkukuh kerjasama tingkatkan reputasi akademik dan penyelidikan | DagangNews Skip to main content

UiTM, UIAM meterai MoU perkukuh kerjasama tingkatkan reputasi akademik dan penyelidikan

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 5 Jan - Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi mengukuhkan lagi kerjasama antara kedua-dua institusi dalam hasrat membantu memimpin, menyokong dan membentuk ekosistem pendidikan dan penyelidikan di dalam Malaysia dan serantaunya.

 

Pengarah Neksus Penyelidikan UiTM, Prof Dr Mohd Rozi Ahmad berkata, MoU tersebut menegaskan keinginan kedua-dua pihak dalam menjadi contoh nasional bagi apa yang mampu dicapai apabila institusi pendidikan tinggi dan lanjutan bekerjasama secara rapat.

 

"Sejak sekian lama, kedua organisasi kami telah bekerjasama bagi menyediakan ekosistem akademik dan penyelidikan yang berkualiti tinggi.

 

"Kami mahu kerjasama ini untuk terus berkembang dan menjadi pemangkin perkongsian yang lebih lagi di masa hadapan. 

 

"MOU ini menegaskan komitmen bersama kami dalam menyediakan pendidikan yang mampu memberikan hasil luar biasa kepada negara, dengan membantu membina aspirasi dan kejayaan generasi muda terutamanya dalam penyelidikan berkaitan sektor tenaga," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Mohd Rozi turut menekankan agenda utama kerjasama itu adalah bagi menjadikan 17 objektif Matlamat Pembangunan Mampan yang dikemukakan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sebagai 'pelan tindakan bersama bagi keamanan dan kemakmuran manusia bersama planet ini, pada masa kini dan hadapan'.

 

Rektor UIAM, Prof Emeritus Dzulkifli Abdul Razak pula berkata, kerjasama itu mampu menerajui kemajuan dalam penyelidikan tenaga solar, bidang yang bukan sahaja penting daripada segi teknologi tetapi juga penting untuk pembangunan mampan dan pengawasan alam sekitar.

 

 

uitm

 

 

"Melalui MOU ini, kami berhasrat untuk mewujudkan platform yang mantap untuk bertukar pengetahuan, projek penyelidikan bersama dan kerjasama akademik yang akan memberi manfaat bukan sahaja kepada institusi kami tetapi juga kepada masyarakat secara menyeluruh," katanya.

 

Beliau menegaskan adalah penting bagi universiti tidak hanya melihat kepada diri mereka sendiri, sebaliknya adalah lebih penting untuk memastikan sebarang bentuk penyelidikan atau kerja yang dijalankan dapat diterjemahkan sebagai kebaikan kepada masyarakat.

 

Timbalan Pengarah Institut Penyelidikan Solar (SRI), Prof Madya Dr Azlin Mohd Azmi berkata, pihaknya sangat berbangga kerana dapat bekerjasama dengan UIAM. 

 

"Setelah bertahun-tahun bekerja keras dan berinovasi, sejarah bersama kami dapat menunjukkan apa yang mampu dicapai apabila kita bekerjasama dalam berkhidmat kepada komuniti. 

 

"Dengan kerjasama ini melalui pendekatan yang jelas dan konsisten, kita mampu mencipta hasil positif bagi pelajar, komuniti, pihak berkepentingan dan juga kawasan sekitar," katanya. - DagangNews.com