UiTM, universiti pertama Malaysia kendali dan miliki stesen jana tenaga solar | DagangNews Skip to main content

UiTM, universiti pertama Malaysia kendali dan miliki stesen jana tenaga solar

USP II di Pasir Gudang, Johor
 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 8 Jan. - Universiti Teknologi MARA (UiTM) menjadi universiti pertama di Malaysia yang memiliki dan mengendalikan dua stesen jana tenaga solar berskala besar (LSSPV) setelah berjaya memulakan operasi komersial stesen LSSPV keduanya di Pasir Gudang, Johor. 

 

UiTM kini berupaya menjana tenaga hijau dengan kapasiti 75MWac (92.58 MWp). 

 

Dengan peningkatan kapasiti ini, UiTM kini sebaris universiti-universiti terkemuka dunia seperti University of California, Stanford University dan University of Queensland yang juga memiliki dan mengendalikan stesen-stesen jana tenaga solar berskala besar.

 

Menurut Naib Canselor UiTM, Profesor Emeritus Datuk Ir. Dr. Mohd. Azraai Kassim, keputusan untuk memiliki beberapa stesen LSSPV secara komersial merupakan sebahagian daripada usaha universiti itu untuk mencapai tahap neutral karbon di samping menjana pendapatan yang mampan. 

 

Mohd. Azraai Kassim
Mohd. Azraai Kassim

 

“Sebagai sebuah universiti, kami mengambil langkah-langkah yang sewajarnya untuk mengurangkan jejak karbon kami, dan stesen solar kedua ini amat penting bagi merealisasikan cita-cita ini.

 

“Fokus utama UiTM adalah untuk memastikan kelestarian dalam segala aspek operasi universiti. 

 

“Kami akan terus melangkah ke hadapan dalam menjana tenaga bersih ini dengan kerjasama semua pihak fakulti, pelajar dan industri dalam melaksanakan usaha ke arah menyediakan suasana pembelajaran yang lestari di semua kampus kami,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini. 

 

Stesen LSSPV yang baharu itu akan meningkatkan kapasiti penjanaan tenaga solar universiti yang kini berupaya menjana 61MWp menerusi stesen LSSPV pertamanya di Gambang, Pahang yang telah memulakan operasi komersial pada 5 April 2019. 

 

LSS
USP I yang mempunyai kapasiti penjanaan sebanyak 61MWp, telah berjaya memulakan operasi komersial pada 5 April 2019.

 

Ditambah pula dengan pelan pembangunan sistem penjanaan tenaga solar di kampus-kampus UiTM berkapasiti 66MW yang dijangka memulakan operasi komersial pada penghujung tahun 2022, UiTM bakal menjana tenaga boleh diperbaharui yang bersih, cukup untuk menampung keperluan elektrik tahunan universiti.

 

Projek stesen janakuasa LSSPV yang dikenali sebagai UiTM Solar Park II (USP II), telah dibangunkan dan dikendalikan oleh UiTM Holdings Sdn. Bhd. (UHSB) menerusi anak syarikat milik penuhnya iaitu UiTM Solar Power Dua Sdn. Bhd. (USPDSB).

 

Projek itu telah berjaya memulakan operasi komersial pada 2 Disember 2020. 

 

USP II yang beroperasi pada kapasiti 31 megawatt (MWp) itu dilengkapi dengan 92,500 panel fotovoltaik solar dan 160 alat penyongsang solar (inverters).

 

Kemudahan itu dibina di atas tanah berkeluasan 112 ekar dan dijangka menyumbang kepada penghindaran pelepasan 28,000 tan karbon dan selain mampu menjana 40,000 MWh tenaga bersih setahun. 

 

Kos pembangunan USP II itu kira-kira RM125 juta, menurut kenyataan sama.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UHSB, Norzaimah Maarof berkata, walaupun terdapat banyak cabaran yang timbul berikutan penularan wabak COVID-19, namun kejayaan untuk mentauliahkan USP II adalah hasil dari kerja keras pasukan USPDSB yang mempunyai kepakaran dan pengalaman yang mendalam berhubung projek-projek membangunkan stesen LSSPV. 

 

Norzaimah Maarof
Norzaimah Maarof

 

Ia juga mencerminkan komitmen kumpulan UHSB dalam menyumbang kepada aspirasi Tenaga Boleh Diperbaharui (RE) negara, ujarnya. 

 

Pembangunan USP II mengambil tempoh selama 11 bulan, termasuk kelewatan dan penanggguhan yang disebabkan oleh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

 

Pembangunan USP II telah disempurnakan menerusi kerjasama dengan kontraktor kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC), SPIC Energy Malaysia Berhad.

 

Kedua-dua projek, USP I and USP II telah dianugerahkan oleh Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau Dan Air (KeTTHA) atau kini dikenali sebagai Kementerian Tenaga Dan Sumber Asli (KETSA) menerusi proses bidaan kompetitif yang dianjurkan oleh Suruhanjaya Tenaga. - DagangNews.com