UMPSA jalin kerjasama dengan syarikat Filipina, United Agarwood bangunkan industri gaharu | DagangNews Skip to main content

UMPSA jalin kerjasama dengan syarikat Filipina, United Agarwood bangunkan industri gaharu

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UMPSA Holdings, Syed Alwi Mohamed Sultan (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Iba Botanicals Inc, Benjamin Mead bertukar perjanjian. Menteri Pengajian Tinggi Dato' Seri Diraja Dr Zambry Abd Kadir (tengah).
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 12 Sept - UMPSA Holdings Sdn Bhd melalui Synbion Sdn Bhd telah menandatangani memorandum perjanjian (MoA) dengan United Agarwood Planters, Inc (UAP) bagi mengukuhkan kerjasama mereka dalam industri gaharu.

 

Kerjasama UMPSA dan syarikat berpangkalan di Filipina itu juga bertujuan untuk menggunakan produk penemuan gaharu baharu berasaskan saintifik.

 

MoA itu ditandatangani hari ini di Persidangan Ke-2 'Rethinking the Future of Sustainability'(ReTHINK 2024). 

 

Menerusi perjanjian itu, UMPSA berkata, Synbion akan membekalkan inokulan berasaskan bahan semula jadi itu kepada UAP OUDIno.

 

"Inokulan itu menggunakan teknologi mikrob berkesan pokok gaharu bagi menghasilkan cip kayu gred berkualiti dengan bantuan, kemudahan dan jaminan daripada Iba Botanicals Inc. (IBI), syarikat induk UAP," ujarnya dalam kenyataan hari ini. 

 

Katanya, UAP memberi tumpuan kepada pembangunan industri gaharu di Filipina manakala IBI, pemegang saham tunggal UAP telah mempelopori pengeluaran ekstrak botani bernilai tinggi dari Filipina untuk dieksport ke pasaran global.

 

MoA itu juga mencadangkan OUDIno akan terus dikeluarkan di Malaysia buat masa ini, tetapi kedua-dua pihak akan mempertimbangkan kemudahan pembuatan tambahan itu di Filipina di bawah lesen apabila ladang di Filipina sudah matang dan jumlahnya meningkat.

 

Sebagai sebahagian daripada kerjasama masa depan, IBI juga telah meminta sebut harga bagi 125,000 unit OUDIno untuk digunakan di ladang di Filipina.

 

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, produk yang dikomersialkan daripada kerjasama itu akan memberik kesan langsung kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara.

 

"Oleh itu, universiti mempunyai tanggungjawab untuk memastikan penyelidikan mereka menyumbang kepada masa depan yang mampan. 

 

"Ini melibatkan integrasi kelestarian dalam kurikulum, menggalakkan pelajar terlibat dalam projek yang menangani cabaran alam sekitar dan sosial, serta memupuk budaya tanggungjawab etika," kata beliau. 

 

Sementara itu, Pengerusi Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN Malaysia, Tan Sri Mohamed Nazir Tun Abdul Razak dalam ucaptamanya mengulas tentang usaha kemampanan adalah tanggungjawab semua pihak.

 

"Dengan menyepadukan penjagaan alam sekitar, kesaksamaan sosial dan daya maju ekonomi ke dalam strategi, kita boleh mewujudkan dunia yang berdaya tahan dan saksama untuk generasi semasa dan akan datang," ujarnya.- DagangNews.com