KUALA LUMPUR 15 April - UN Global Compact Network Malaysia & Brunei (UNGCMYB) bekerjasama dengan Tata Consultancy Services Malaysia (TCS Malaysia) melancarkan ZeroC, platform pengurusan pelepasan karbon digital yang dibangunkan secara bersama untuk organisasi dan industri.
Majlis pelancarannya telah diadakan semasa Simposium SBTi pada 5 April 2022, bertemakan ‘Demystifying urgent actions for a 1.5°C pathway’, yang dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Mustapa berkata mengenai peranan SBTi sebagai laluan untuk mencapai matlamat neutral karbon kebangsaan dan peranan alat seperti ZeroC.
“Kita mesti berganding bahu menyelesaikan isu-isu iklim bersama-sama. Marilah kita bekerjasama membina sebuah dunia yang lebih hijau dan memelihara kesejahteraan ekonomi untuk generasi akan datang.
Sehubungan itu, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk memuji UNGCMYB dan Tata Consultancy Services Asia Pacific di atas kerjasama mereka dalam membangunkan alat ZeroC, yang akan membantu perniagaan dalam peralihan mereka ke arah pelepasan sifar bersih," katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif UNGCMYB, Faroze Nadar berkata, pihaknya sering mendapati bahawa perniagaan memahami keperluan untuk menangani ancaman perubahan iklim yang mendesak, tetapi ia sesuatu amat sukar untuk dimulakan kerana terpaksa berdepan dengan tugas yang kompleks.
"Dengan memperkenalkan ZeroC, kami berharap untuk menawarkan alat digital yang mudah lagi intuitif dan akan menggalakkan sebarang jenis perniagaan untuk memulakan perjalanan tindakan iklim mereka.
"TCS Malaysia telah menjadi rakan yang tidak ternilai dalam membangunkan ZeroC, menerusi pemanfaatan pengalaman global mereka dalam membantu transformasi perniagaan dan kami yakin untuk terus memperluaskan lagi kerjasama ini bagi melakukan lebih banyak lagi perkara dalam memacu tindakan iklim di Malaysia," katanya.
Ketua Negara TCS Malaysia, Jeevan Rajoo pula berkata, pihaknya amat berbesar hati kerana dapat bekerjasama dengan UNGCMYB bagi membangunkan ZeroC, satu alat penting yang diharapkan akan mendorong lebih banyak organisasi baru untuk memulakan perjalanan iklim mereka.
"Di TCS, kami tahu bahawa usaha untuk menggalakkan lebih banyak organisasi baru supaya komited ke arah tindakan iklim seringkali akan menjadi suatu cabaran, tetapi ia adalah satu tanggungjawab yang tidak boleh kami tolak," katanya.
Simposium SBTi mengetengahkan kepentingan mencapai pelepasan sifar bersih menerusi Science Based Targets Initiative (SBTi), dengan menghimpunkan pejuang kelestarian yang komited terhadap SBTi untuk berkongsi pengalaman mereka bagi memberi inspirasi kepada syarikat untuk memulakan perjalanan iklim dan mencapai penyingkiran karbon menjelang 2050.
Simposium tersebut dihadiri pemimpin perniagaan dan pengamal kelestarian berpengalaman, termasuk 55 peserta yang hadir di Taylor's Lakeside Campus dan hampir 400 peserta hadir secara maya. - DagangNews.com