Unique Fire isytihar dividen interim RM2.4 juta bagi FY24 | DagangNews Skip to main content

Unique Fire isytihar dividen interim RM2.4 juta bagi FY24

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 9 Jan - Syarikat keselamatan dan perlindungan kebakaran, Unique Fire Holdings Bhd mengumumkan dividen interim satu peringkat  berjumlah RM2.4 juta untuk tahun kewangan berakhir 31 Mac 2024 (FY24).

 

Pengarah urusannya, Liew Sen Hoi berkata, dividen itu akan dibayar kepada pemegang saham pada 8 Februari 2024.

 

Katanya, dividen yang diisytiharkan itu menandakan komitmen dan kewajipan kukuh untuk memberi ganjaran kepada pemegang saham sambil menambah kekuatan kewangan pihaknya yang berdaya tahan dan prospek perniagaan positif.

 

"Melangkah ke hadapan, semasa kami menghampiri fasa akhir pelaksanaan barisan pembuatan baharu, kami menjangka bahagian perniagaan masing-masing akan terus menunjukkan prestasi dan menjana pertumbuhan perniagaan pada suku berikutnya. 

 

"Kami akan terus menyampaikan rancangan pertumbuhan, dan pada masa yang sama melabur dalam perniagaan untuk menerima pakai teknologi inovatif dan mendorong pertumbuhan mampan dalam industri perlindungan kebakaran," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

Terdahulu, keuntungan bersih kumpulan untuk tempoh enam bulan terkumpul berakhir 30 September 2023 melonjak 170.4% kepada RM3.6 juta, mengatasi pendapatan setahun penuh bagi tahun kewangan berakhir 2023, membolehkan pengagihan 0.6 sen sesaham biasa. - DagangNews.com