Unisem beli tanah berdekatan kilang sedia ada di Gopeng pada harga RM30.14 juta | DagangNews Skip to main content

Unisem beli tanah berdekatan kilang sedia ada di Gopeng pada harga RM30.14 juta

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 21 Jun - Unisem (M) Berhad membeli 38 lot tanah kosong yang terletak di Mukim Sungai Raya, daerah Kinta, Perak bernilai RM30.14 juta.

 

Tanah-tanah tersebut yang dibeli pada harga RM16 sekaki persegi (kps) terletak di belakang fasiliti Unisem yang sedia ada iaitu kilang Gopeng.

 

Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Unisem berkata, 38 lot tanah itu berkeluasan 1.88 juta kps.

 

Katanya, pembelian ini adalah untuk memudahkan pengembangan masa depan kemudahan pembungkusan dan ujian semikonduktor Unisem. 

 

ARTIKEL BERKAITAN: Untung bersih 1Q Unisem susut 14% diseret oleh margin lebih rendah, kerugian tukaran mata wang asing

 

"Tanah-tanah tersebut juga akan digunakan untuk menyokong Kilang Gopeng dalam menyediakan ruang letak kereta tambahan dan asrama untuk pekerja Syarikat. 

 

"Pembelian ini akan memberi sumbangan positif kepada pertumbuhan Kumpulan," katanya sambil memaklumkan embelian ini akan disokong melalui dana yang dijana secara dalaman.

 

Menurut Unisem, keseluruhannya tanah berkenaan dibeli daripada Sungai Raya Development Sdn Bhd dan dua individu.

 

Katanya, Perjanjian Jual Beli (SPA) dengan Sungai Raya Development dan dua lagi vendor telah dibuat pada 18 Jun 2024.

 

"Pembelian ini tidak akan memberi kesan material terhadap aset bersih setiap saham, pendapatan, pendapatan setiap saham atau kadar perbelanjaan untuk tahun kewangan yang berakhir pada 31 Disember 2024," ujarnya. - DagangNews.com