Unit G Capital meterai perjanjian pembelian tenaga dengan TNB selama 21 tahun | DagangNews Skip to main content

Unit G Capital meterai perjanjian pembelian tenaga dengan TNB selama 21 tahun

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 14 Nov - G Capital Bhd. menerusi anak syarikat pegangan 74.64% miliknya, Kundur Hydro R E Sdn Bhd (KHRE) memeterai perjanjian pembelian tenaga boleh diperbaharui (REPPA) dengan Tenaga Nasional Bhd. 

 

Menurutnya, perjanjian itu adalah bagi tempoh selama 21 tahun bermula dari tarikh operasi komersial yang dijadualkan bermula 11 Mei 2027.

 

"Berdasarkan REPPA, TNB akan membeli elektrik daripada KHRE pada kadar Feed-in Tariff (FiT) sebanyak 24.61 sen setiap kilowatt-jam (KWj)," katanya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.

 

KHRE, Pemegang Kelulusan Feed-in (FiAH), telah berjaya memeterai REPPA dengan TNB sebelum tarikh tamat tempoh pada 11 Februari 2023.

 

Pada 11 Mei lalu, KHRE telah diberi kelulusan feed-in oleh Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari Malaysia (SEDA) berkenaan loji kuasa hidro mini utama tinggi 2MW yang terletak di Sungai Geroh, Kampar, Perak.
 

G Capital menyasarkan untuk menyiapkan dan mentauliahkan loji tersebut pada atau sebelum 11 Mei 2027, dengan menjangkakan hasil sebanyak RM53.09 juta kepada kumpulan dalam tempoh 21 tahun.

 

Katanya, ia berdasarkan kadar FiT sebanyak 24.61 sen KWj dan dianggarkan pengeluaran tahunan sebanyak 10.27 gigawatt jam elektrik yang akan dijana daripada loji tersebut.

 

"REPPA dijangka tidak memberi sebarang kesan material ke atas pendapatan dan aset bersih kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022," katanya. - DagangNews.com