KUALA LUMPUR 19 Nov - Sunway Bhd. menerusi unit pembangunan hartanah milik penuhnya, Sunway Developments Pte Ltd (SDPL) bersama Hoi Hup Realty Pte Ltd memeterai perjanjian jual beli secara kolektif membabitkan pembelian 22 plot tanah kediaman pegangan bebas di Tanjong Katong, Singapura bernilai S$815.0 juta (RM2.51 bilion).
Dalam makluman di Bursa Malaysia, Sunway Group Berkata, perjanjian yang dimuktamadkan itu bergantung kepada syarat-syarat dan kelulusan pihak berkuasa yang perlu dipenuhi.
Buat masa ini, katanya, tanah tersebut terdiri daripada unit kediaman bertanah dengan keluasan kira-kira 263,794 kaki persegi.
"Bagaimanapun, ia akan dimajukan semula menjadi satu kawasan pembangunan kediaman persendirian baharu dan satu syarikat usaha sama yang dicadangkan akan diperbadankan, dengan Hoi Hup dan SDPL akan menguasai kepentingan ekuiti dengan nisbah 70:30," katanya hari ini.
SDPL adalah anak syarikat milik penuh Sunway Holdings Sdn. Bhd., yang juga anak syarikat milik penuh Sunway.
Hoi Hup pula syarikat yang diperbadankan di Singapura dengan modal berbayar sebanyak S$3 juta dan terlibat dalam pembangunan hartanah.
Menurut Sunway, kos pelaburan SDPL dalam projek usaha sama itu dianggarkan berjumlah S$140 juta atau RM431.2 juta.
"Projek yang dicadangkan ini dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan Sunway Group mulai tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 dan seterusnya," tambahnya. - DagangNews.com