Universiti Putra Malaysia sediakan 42 bas hantar 1,355 pelajar UPM pulang mengundi | DagangNews Skip to main content

Universiti Putra Malaysia sediakan 42 bas hantar 1,355 pelajar UPM pulang mengundi

SERDANG 18 Nov -  Seramai 1,355 pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) pulang ke kampung masing-masing hari ini dan semalam dengan 42 buah bas untuk menunaikan kewajipan mengundi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

 

Naib Canselor UPM, Dato’ Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman yang melepaskan pergerakan pulang pelajar dengan bas berkata, pergerakan pelajar pulang dibuat mengikut empat zon iaitu Zon Pantai Timur, Zon Utara, Zon Selatan dan Zon Tengah serta Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

 

Pembahagian negeri mengikut zon itu ialah Zon Utara terdiri dari negeri Pulau Pinang, Kedah dan Perlis, sementara Zon Timur (Kelantan, Terengganu dan Pahang), Zon Selatan (Negeri Sembilan, Melaka dan Johor) dan Zon Tengah (Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya serta KLIA).

 

“Kita menyediakan bas secara percuma kepada pelajar-pelajar untuk pulang ke kampung. Jadi gunakanlah peluang ini dengan sebaiknya untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi dalam PRU15 ini.

 

“Saya juga berharap pelajar menjaga keselamatan diri masing-masing dan menjaga kesihatan semasa balik ke kampung dan semasa mengundi,” katanya semasa melepaskan bas-bas UPM dengan disertai oleh Ahli Jawatankuasa Pengurusan UPM.

 

 

UPM
Dato’ Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman dan Prof. Dr Arifin Abdu berbual dengan para pelajar UPM yang menggunakan bas UPM untuk pulang mengundi, di kampus induk UPM pada 18 November 2002.

 

UPM

 

UPM

 

UPM

 

UPM

 

UPM

 

 

Prof. Roslan berkata UPM juga turut menyelaraskan pergerakan pelajar di kampus Bintulu Sarawak untuk ke Lapangan Terbang Bintulu bagi pulang mengundi di kawasan masing-masing.

 

“Sebanyak 42 pergerakan bas telah disediakan oleh UPM bagi melancarkan penghantaran pulang pelajar termasuk. Setiap zon mempunyai satu pergerakan sehari iaitu pada pukul 8,  kecuali pergerakan ke KLIA dibuat pada jam 5 pagi, 12 tengah hari dan 4 petang,” katanya.

 

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Dr Arifin Abdu berkata Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Felo Kolej Kediaman, Majlis Perwakilan Pelajar dan Majlis Perwakilan Kolej sentiasa memantau pergerakan pulang pelajar dari kampus.

 

“Setiap pergerakan bas yang dinaiki pelajar akan disertai oleh seorang pemantau yang terdiri daripada staf UPM untuk memastikan prosedur operasi standard (SOP) keselamatan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan dipatuhi,” katanya.

 

Mengulas mengenai Undi18 sempena PRU15, Prof. Dr Arifin menyifatkan pelajar UPM telah bersedia dan matang dalam menjalankan tanggungjawab Undi 18 kerana Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar UPM telah membentuk kesedaran pelajar melalui proses pilihan raya kampus.

 

“Saya berpesan, sebagai mahasiswa UPM yang telah matang, elakkan daripada terjebak atau terpengaruh dengan perkara-perkara negatif semasa pilihan raya.

 

“Saya yakin pelajar-pelajar UPM akan menjadi contoh kepada generasi muda di Malaysia dalam menjalankan kewajipan sebagai pengundi berusia 18 tahun.

 

"Mahasiswa UPM telah dididik sejak peringkat kampus lagi untuk memilih calon kepimpinan dalam PRU nanti,” katanya. - DagangNews.com