Universiti sebagai Pusat Pemangkin Pembangunan Komuniti | DagangNews Skip to main content

Universiti sebagai Pusat Pemangkin Pembangunan Komuniti

Pekerja am, pelajar dan penduduk sekitar Gombak memilih pakaian terpakai yang diderma oleh masyarakat IIUM, salah satu projek komuniti yang dijalankan sempena Ramadan 1445.
Oleh Zurina Abd Ghani dan Salina Sa-idul Haj

Universiti merupakan pusat wadah pembentukan moral dan sahsiah warga institusi pendidikan  tinggi khususnya untuk para pelajar. 

 

Nilai empati dan kebersamaan bersama masyarakat haruslah diterapkan di dalam diri bakal graduan universiti agar mereka kelak akan berkhidmat dengan jatidiri yang kuat untuk berbudi.  Itulah diantara asbab kewujudan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). 

 

Sebagai pentadbir Universiti, salah satu tanggungjawab penting adalah memastikan bahawa institusi pendidikan tidak hanya menjadi tempat pelajaran dan pembelajaran tetapi juga sebuah pemangkin pembangunan yang berterusan bagi masyarakat setempat. 

 

Projek komuniti merupakan satu pendekatan yang berkesan dalam memupuk nilai-nilai kebajikan dan kebersamaan dalam kalangan warga universiti, pensyarah, pentadbir dan juga pelajar, sekaligus memberi kesan positif kepada kemaslahatan warga penduduk sekitar kampus.

 

Mengukuhkan Hubungan Antara Universiti dan Komuniti Setempat

Projek komuniti yang dijalankan oleh warga universiti merupakan cerminan daripada semangat berbakti dan berbudi kepada masyarakat. Ini tidak hanya memberi manfaat kepada komuniti setempat tetapi juga memperkuatkan hubungan antara universiti dan penduduk tempatan.

 

Melalui projek-projek seperti program pembangunan kemahiran, khidmat masyarakat, dan inisiatif kelestarian alam, warga universiti dapat memberi sumbangan yang signifikan kepada pembangunan komuniti setempat. 

 

Salah satu dari inisiatif untuk komuniti yang dijalankan oleh IIUM adalah ”IIUM Special Raya 2024 Project”, Projek Khas Raya 2024 yang dikoordinasikan oleh Pejabat Strategi dan Perubahan Institusi, IIUM Gombak, dimana masyarakat IIUM menderma pakaian Raya terpakai untuk masyarakat sekitar gombak termasuk para pelajar yang memerlukan. 

 

Sejumlah 2,000 helai pakaian seperti baju kurung, jubah, kemeja, seluar, tudung dan pelbagai lagi barangan telah didermakan oleh warga Universiti dan masyarakat sekitar untuk diberi kepada mereka yang memerlukan

 

Pihak jawatankuasa pengurusan Projek Khas Raya 2024 juga telah memutuskan untuk menyalurkan lebihan sumbangan kepada Masjid Gombak Utara untuk kesinambungan usahasama bersama komuniti.

 

 

wainuiomata


 

 

Selain daripada itu, pihak pentadbir dan pensyarah wanita di UIAM berkolaborasi bersama PUSPANITA IIUM sedang menganjurkan juga projek BAKUL RAYA 4.0.  Projek ini telah dijalankan selama empat tahun berturut-turut. 

 

Ia adalah satu projek yang bertujuan untuk memberi keperluan Eidul Fitri kepada para pekerja am khasnya pekerja landskap dan tukang cuci di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. 

 

Kedua-dua projek yang sedang berlangsung ini adalah bersempena Ramadan 1445.  Namun begitu, ini hanya sebahagian kecil sahaja dari projek-projek komuniti yang telah dan sedang dijalankan oleh komuniti IIUM.

 

Membangunkan Pemimpin yang Bertanggungjawab dan Berbudaya Nilai Tinggi

Komitmen universiti khasnya UIAM terhadap pembangunan komuniti bukanlah kebetulan tetapi hasil daripada budaya yang ditanam oleh pemimpin-pemimpinnya dari dahulu lagi kerana ia merupakan visi dan misi IIUM untuk melahirkan komuniti Universiti dan graduan yang Rahmatan lil ’Alamin.

 

Pemimpin universiti yang menggalakkan nilai-nilai kebajikan, keberagaman, dan kebertanggungjawaban memainkan peranan penting dalam membentuk sikap warga universiti.

 

Dengan memperkasa inisiatif projek komuniti, pemimpin universiti turut membina generasi pelajar yang peka dan prihatin terhadap keperluan masyarakat sekitar ke arah Kemaslahatan Bersama sejajar dengan halatuju UIAM iaitu ’Humanising Education’ yang melihat kepada pembelajaran ke arah pembentukan manusiawi.

 

Projek komuniti universiti bukan sekadar satu-satunya cara untuk memberi kepada masyarakat setempat. Ia juga merupakan langkah menuju kepada kemaslahatan bersama di mana universiti dan komuniti setempat bekerjasama untuk mencapai matlamat yang sama.  

 

Melalui perkongsian sumber daya, pengetahuan, dan tenaga kerja, dan apa juga sumber yang ada, universiti dan komuniti setempat dapat mengukuhkan infrastruktur sosial dan ekonomi yang memberi manfaat kepada semua pihak. 

 

Projek usahasama sebegini juga mempromosikan kerja berkumpulan yang memecah silo dalam kalangan para pensyarah, pentadbir dan pelajar untuk mencapai hasil maksud dan tujuan yang sama.  Pakaian dan pelbagai keperluan yang diberi kepada masyarakat B40 dan yang setaranya amatlah dihargai oleh mereka.

 

Kesimpulannya, dalam dunia yang semakin kompleks dan perubahan momentum yang sangat cepat, ketidakstabilan ekonomi, kesihatan mental dan pelbagai faktor, peranan universiti tidak hanya terhad kepada bidang pendidikan dan penyelidikan serta wacana keilmuan, tetapi juga sebagai pemangkin pembangunan komuniti yang berterusan.

 

Melalui projek komuniti seperti Projek Khas Raya 2024 dan BAKUL RAYA 4.0 yang membawa nilai-nilai kebajikan, warga universiti dapat memberi sumbangan yang bermakna kepada kemaslahatan masyarakat setempat dan ia juga memupuk kebersamaan dengan semua pihak.

 

Dengan adanya pemimpin yang membudayakan nilai-nilai tersebut, universiti akan menjadi pusat yang menggerakkan perubahan positif untuk kebaikan bersama. - DagangNews.com

 

 

Zurina Abd Ghani adalah Timbalan Pengarah Kanan, Pejabat Strategi dan Perubahan Institusi, UIAM dan Salina Sa-idul Haj adalah Penolong Pengarah Kanan, Pusat Bahasa dan Pembangunan Akademik Pra-universiti (CELPAD), UIAM