Unjuran KDNK mungkin disemak semula lebih rendah | DagangNews Skip to main content

Unjuran KDNK mungkin disemak semula lebih rendah

 

 

 

KUALA LUMPUR 12 Julai - Malaysia akan menurunkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini ekoran sekatan pergerakan dalam memerangi penularan wabak COVID-19. 

 

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz membayangkan kerajaan akan membuat unjuran sekitar 4% pada tahun ini.

 

Sebelum ini, kerajaan menyatakan akan menyemak semula pertumbuhan KDNK daripada 6 hingga 7.5% ketika ini, pada bulan hadapan. 

 

"Meskipun terdapat keyakinan bahawa lonjakan kes ketika ini dapat dibentung dan perintah sekatan dilonggarkan, tetapi kerajaan masih menjangkakan KDNK lebih rendah bagi 2021.

 

"Kami sedang menyemak semula angka yang lebih rendah dan akan berkongsi angka sebenar setelah memperoleh data daripada lapangan," katanya dalam temu bual pada Isnin dengan Bloomberg TV seperti dipetik TheEdge.

 

Ketika ditanya sama ada ia akan direndahkan sekitar 4%, beliau memberi maklum malas, 'sekitar yang anda nyatakan'.

 

Sekatan pergerakan menyebabkan ekonomi menanggung kerugian RM1 bilion sehari dan hanya kira-kira 10 peratus penduduk sudah divaksin sepenuhnya.

 

Kes COVID-19 mencecah rekod tertinggi baharu 9,353 pada Sabtu, dengan Lembah Klang, termasuk Kuala Lumpur merangkumi 60 peratus daripada jumlah keseluruhan.

 

Tengku Zafrul minggu lalu dilantik sebagai Menteri Penyelaras bagi Pelan Pemulihan Negara (PPN), bertanggungjawab memantau pelaksanaan strateginya, termasuk langkah intervensi.

 

Antara butiran penting yang dibangkitkan dalam temu bual itu, termasuklah meningkatkan siling hutang kepada 65% berbanding 60% buat masa ini, memandangkan kerajaan akan meningkatkan pinjaman bagi membiayai pakej rangsangan ekonomi. 

 

Selain itu, defisit fiskal bagi tahun ini dijangka meningkat antara 6.5 hingga 7% berbanding unjuran 6% sebelum ini. - DagangNews.com