Unjuran kerugian Eco World International bagi FY24-25 dikurangkan sehingga 60% – Maybank IB | DagangNews Skip to main content

Unjuran kerugian Eco World International bagi FY24-25 dikurangkan sehingga 60% – Maybank IB

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 14 Dis - Unjuran kerugian Eco World International Berhad bagi tahun kewangan berakhir 31 Oktober 2024 dan 2025 (FY24-25) masing-masing dikurangkan sebanyak 60% dan 51%, kata Maybank Investment Bank (Maybank IB).

 

Firma penyelidikan itu melakukan penyelarasan tersebut selepas mengambil kira keputusan FY23 sebenar, jumlah dividen RM600 juta untuk FY24, serta kos pentadbiran dan pemasaran yang lebih rendah.

 

Menurut firma itu, tiada pelancaran baharu dalam jangka pendek kerana Eco World International akan memberi tumpuan untuk membersihkan sahamnya yang tidak terjual bernilai RM850 juta, dengan tujuan untuk mengagihkan kembali lebihan tunai kepada pemegang sahamnya.

 

“Eco World International akan kekal mengalami kerugian selama bertahun-tahun sehingga ia memutuskan untuk melancarkan projek baharu,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Maybank IB berkata kerugian bersih kumpulan bagi tahun kewangan 2023 (FY23) baru-baru ini adalah sejajar dengan jangkaan, merangkumi 100% daripada unjuran tahun penuhnya selepas mencatat kerugian bersih RM91 juta.

 

Penurunan tahun ke tahun itu adalah disebabkan oleh kos kewangan yang lebih rendah dan pendapatan faedah lebih tinggi serta kerugian lebih rendah daripada projek Eco World-Ballymore, tambahnya.

 

Di samping itu, jualan hartanah dan jualan rizab pada FY23 sebanyak RM1.3 bilion adalah 7% di bawah sasaran jualan RM1.4 bilion.

 

Sementara itu, kumpulan itu telah menetapkan sasaran jualan RM850 juta bagi FY24 dan berkemungkinan membayar dividen berjumlah RM600 juta atau 25 sen sesaham pada FY24.

 

Maybank IB mengekalkan saranan ‘pegang’ dengan harga sasaran (TP) lebih rendah pada 26 sen sesaham daripada 34 sen sebelumnya.

 

Setakat pukul 10:26 pagi ini, saham Eco World International telah menokok 0.5 sen atau 1.4% kepada 36.5 sen dengan permodalan pasaran berjumlah RM876 juta.  - DagangNews.com