Unjuran pendapatan Apex Healthcare bagi FY23-25 diturunkan kesan pengurangan pegangan dalam perniagaan ortopedik – AmInvestment | DagangNews Skip to main content

Unjuran pendapatan Apex Healthcare bagi FY23-25 diturunkan kesan pengurangan pegangan dalam perniagaan ortopedik – AmInvestment

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 25 Mei - Pengurangan pegangan ekuiti Apex Healthcare Berhad dalam syarikat bersekutu mengurangkan pendapatan daripada perniagaan ortopedik pada masa akan datang.

 

AmInvestment Research berkata keuntungan bersih kumpulan dalam suku pertama tahun kewangan 2023 (1QFY23) sebanyak RM25 juta dalam jangkaan, menyumbang 25% daripada ramalannya dan Street.

 

Bagaimanapun, firma penyelidikan itu mengurangkan unjuran pendapatan bagi tahun kewangan 2023 hingga 2025 (FY23-25) sebanyak 7%, 15% dan 14% untuk mengambil kira pegangan ekuiti berkesan dalam Straits Apex, iaitu perniagaan ortopedik kumpulan, telah dikurangkan kepada 16% daripada 40%.

 

“Kami mungkin menyemak semula ramalan jika pengurusan Apex Healthcare mempunyai pelaburan alternatif baharu dengan hasil pelupusan sebanyak AS$215 juta (RM949 juta) yang boleh mengimbangi penurunan tersebut,” katanya dalam nota hari ini.

 

Mengulas mengenai pendapatan 1QFY23 kumpulan, firma itu berkata peningkatan tahun ke tahun (YoY) telah dirangsang oleh permintaan kukuh untuk ubat selesema di Malaysia berikutan penularan COVID-19 dan peningkatan kes selesema, serta lonjakan sumbangan daripada Straits Apex Group.

 

SAG telah memulakan pembinaan kampus di Taman Perindustrian Batu Kawan, Pulau Pinang yang akan dipajak kepada Straits Apex dan dijangka beroperasi menjelang suku pertama 2024.

 

Kuantum sumbangan dan bayaran pajakan yang akan diterima Apex Healthcare bakal dimaklumkan oleh pihak pengurusan dalam taklimat keputusan seterusnya dan buat masa ini, sumbangan ini belum diambil kira dalam pendapatan FY24F-FY25.

 

“Kami menurunkan taraf saranan kepada ‘pegang’ daripada ‘beli’ selepas kenaikan harga saham yang kukuh sebanyak 45% sepanjang setahun lalu bersama-sama dengan nilai saksama (FV) dikurangkan kepada RM3.90 sesaham daripada RM4.21,” katanya.

 

Firma itu berkata saranan itu disemak semula dengan mengambil kira sumbangan pendapatan yang lebih rendah daripada Straits Apex Group (SAG). -DagangNews.com