Unjuran pendapatan Tasco bagi FY24-25 dikurangkan sehingga 12% kesan kelemahan segmen penghantaran kargo laut – Apex Securities | DagangNews Skip to main content

Unjuran pendapatan Tasco bagi FY24-25 dikurangkan sehingga 12% kesan kelemahan segmen penghantaran kargo laut – Apex Securities

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 8 Feb - Apex Securities mengurangkan unjuran pendapatan Tasco Berhad bagi tahun kewangan 2024 dan 2025 (FY24-25) masing-masing sebanyak 12% dan 5% untuk mengambil kira jangkaan margin yang lebih lemah pada segmen penghantaran kargo laut (OFF).

 

Firma penyelidikan itu berkata unjuran pendapatan untuk FY24 diturunkan kepada RM62.9 juta daripada RM71.7 juta, manakala bagi FY25 dikurangkan kepada RM81.5 juta berbanding RM85.4 juta sebelum ini.

 

Ini adalah berikutan pemulihan lebih perlahan daripada jangkaan dalam perniagaan OFF yang mengalami kerugian pada suku ketiga tahun kewangan 2024 (3QFY24)

 

Apex Securities berkata, kerugian tersebut menyebabkan syarikat penyedia perkhidmatan logistik bersepadu tersebut mencatat  keuntungan bersih bagi tempoh sembilan bulan tahun kewangan 2024 (9MFY24) sebanyak RM43.9 juta, yang merangkumi anggaran tahun penuh firma dan konsensus masing-masing pada 61% dan 57%.

 

Bagaimanapun, firma itu mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) lebih rendah pada RM1.12 sesaham daripada RM1.18 sebelum ini, berdasarkan harga perolehan (PE) sebanyak 11 kali kepada pendapatan sesaham (EPS) FY25 bernilai 10.19 sen.

 

Firma penyelidikan tersebut menjangkakan prestasi kumpulan itu lebih baik pada masa akan datang, dengan menjangkakan pemulihan dalam perdagangan luar dan sumbangan daripada kapasiti gudang baharu.

 

“Kami menjangkakan Tasco mendapat manfaat daripada pemulihan momentum perdagangan luar dan daya tahan dalam ekonomi domestik dengan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) meramalkan peningkatan nilai perdagangan barangan global sebanyak 3.2% tahun ke tahun pada 2024.

 

“Kami optimis secara berhati-hati ke atas pemulihan sektor teknologi, pembuatan aktiviti dan ekonomi China. Sementara itu, krisis Laut Merah dijangka meningkatkan prospek jangka pendek Tasco dalam segmen OFF dengan kadar yang lebih tinggi,” ulasnya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Apex Securities mengunjurkan segmen rumusan perniagaan antarabangsa (IBS) pulih memandangkan prestasi perdagangan luaran bertambah baik.

 

Sementara itu, segmen rumusan perniagaan domestik (DBS) bersedia untuk penambahbaikan selanjutnya, disokong oleh permintaan gudang dan rantaian bekalan sejuk (CSC) yang kukuh, ditambah kapasiti gudang baharu dan mula menyumbang kepada kumpulan pada 4QFY24 (Jan - Mac 2024).

 

Setakat pukul 11:39 pagi ini, saham Tasco telah menurun 0.5 sen atau 0.6% kepada 80 sen dengan permodalan pasarannya bernilai RM640 juta. - DagangNews.com