Untung bersih 1QFY23 Public Bank meningkat 22.6% kepada RM1.71 bilion didorong ketiadaan Cukai Makmur | DagangNews Skip to main content

Untung bersih 1QFY23 Public Bank meningkat 22.6% kepada RM1.71 bilion didorong ketiadaan Cukai Makmur

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 25 Mei - Untung bersih Public Bank Berhad bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2023 (1QFY23) meningkat 22.6% kepada RM1.71 bilion daripada RM1.4 bilion setahun sebelumnya didorong ketiadaan Cukai Makmur.

 

Bank itu berkata, pendapatan bagi suku itu meningkat 25% kepada RM6.12 bilion daripada RM4.89 bilion sebelumnya, diterajui oleh pertumbuhan pinjaman dan deposit yang sihat.

 

Kumpulan itu mengekalkan momentum pertumbuhan pinjaman yang sihat pada kadar pertumbuhan tahunan sebanyak 5% kepada RM381.6 bilion, sebahagian besarnya disokong oleh portfolio pinjaman domestik, yang meningkat secara tahunan pada kadar 5.4% kepada RM356.8 bilion.

 

Katanya, pertumbuhan pinjaman domestik disumbangkan terutamanya oleh pembiayaan hartanah kediaman, pembiayaan sewa beli serta pembiayaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS). 

 

Pembiayaan hartanah kediaman berkembang pada kadar tahunan 6.1%, pembiayaan sewa beli pada 11.5% dan pembiayaan PKS pada 2.7%.

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Esekutif Public Bank, Tan Sri Dr. Tay Ah Lek berkata,  bank akan terus mengharungi cabaran dalam persekitaran operasi mencabar dan menunjukkan daya tahan pada prestasi suku pertama 2023.

 

"Kejayaan itu disokong oleh pertumbuhan pendapatan faedah bersih yang membanggakan dan elaun rosot nilai pinjaman yang lebih rendah," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Bank itu berkata, mereka telah mengekalkan bahagian pasaran utama kumpulan dalam pembiayaan hartanah kediaman yang berjumlah 20.6%, pembiayaan sewa beli (30.4%) dan pinjaman PKS domestik (19%).

 

Mengenai operasi di luar negara, Public Bank berkata, bahawa pada suku pertama tahun ini, operasi luar negara menyumbang 8.1% kepada keuntungannya, terutamanya daripada operasi Hong Kong dan Indochina.

 

"Public Bank Vietnam dan  Public Bank Kemboja terus memberikan prestasi keuntungan yang kukuh. 

 

"Ini ditunjukkan dalam pertumbuhan keuntungan dua digit Public Bank Vietnam sebanyak 24.5% tahun ke tahun dan 59.8% oleh Public Bank Kemboja.

 

"Indochina akan terus menjadi kawasan pertumbuhan tumpuan utama kumpulan, dengan pengembangan berterusan rangkaian cawangan serta meluaskan produk dan perkhidmatan," katanya.

 

Bank itu menyasarkan untuk membuka lapan lagi cawangan baharu di Vietnam untuk mencapai sejumlah 40 cawangan menjelang akhir tahun. - DagangNews.com