Untung bersih 2QFY24 Scientex meningkat kepada RM141 juta didorong sumbangan positif daripada segmen hartanah | DagangNews Skip to main content

Untung bersih 2QFY24 Scientex meningkat kepada RM141 juta didorong sumbangan positif daripada segmen hartanah

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 Mac - Untung bersih Scientex Bhd bagi suku kedua berakhir 31 Januari 2024 (2QFY24) meningkat kepada RM141.01 juta berbanding RM106.29 juta disokong oleh sumbangan lebih baik daripada segmen hartanah.

 

Hasil bagi suku berkenaan juga melonjak kepada RM1.09 bilion daripada RM978.39 juta pada 2QFY23.

 

Kumpulan itu berkata, permintaan eksport yang lebih lemah untuk produk pembungkusannya pada suku berkenaan menjadikan sumbangan daripada segmen itu lebih rendah kepada RM635.8 juta pada separuh pertama berakhir 31 Januari 2024 (1HFY24) berbanding RM655.1 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Bagaimanapun, keuntungan operasi lebih tinggi sebanyak RM64 juta berbanding RM58.3 juta pada suku tahun lalu disebabkan inisiatif yang dilaksanakan untuk meningkatkan daya saing serta campuran produk.

 

Sementara itu, Scientex berkata, segmen hartanahnya menyaksikan lonjakan hasil sebanyak 41.3% kepada RM323.3 juta pada 2QFY24.

 

“Pendapatan yang lebih tinggi itu disumbangkan oleh kemajuan pembinaan yang stabil untuk semua pembangunan di Utara, Tengah dan Selatan Semenanjung Malaysia.

 

"Selain itu, pelancaran perojek baharu di Sungai Dua (Pulau Pinang), Sungai Petani (Kedah), Ipoh (Perak), Jasin (Melaka) dan Pulai (Johor) turut mendapat sambutan menggalakkan dan seterusnya menyumbang kepada peningkatan hasil," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Mengulas mengenai prospek, kumpulan itu berkata, tinjauan pasaran global yang mencabar ditambah dengan peningkatan kos tenaga dan tekanan inflasi dijangka terus memberi kesan kepada kos operasi mereka.

 

Katanya, bahagian pembungkusan fokus dalam meningkatkan kecekapan operasi serta memberi fokus kepada kos, kualiti dan penghantaran kepada pelanggan bagi mengekalkan daya saing pasarannya.

 

Pada masa yang sama, kumpulan itu juga akan memberi tumpuan kepada inovasi bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk rumusan pembungkusan yang mampan dan boleh dikitar semula sepenuhnya.

 

"Bahagian hartanah akan terus memberi fokus kepada pengembangan pasaran hartanah mampu milik di Semenanjung Malaysia merentasi tujuh negeri bagi mencapai objektifnya untuk menyiapkan 50,000 rumah mampu milik menjelang 2028," katanya. - DagangNews.com