Untung bersih bank diunjur naik 6% | DagangNews Skip to main content

Untung bersih bank diunjur naik 6%

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 15 Mac - Keuntungan bersih teras bank-bank diunjurkan berkembang 6%, kembali pulih pada tahun ini. 

 

Unjuran itu dibuat oleh CGS-CIMB Research yang mengambil kira dua pemangkin perolehan, dibandingkan ramalan kemerosotan sehingga 10.8% pada tahun lalu. 

 

“(Pertama) perubahan dalam pertumbuhan pendapatan faedah bersih daripada penurunan 4.5% pada 2020 kepada pengembangan 4.7% pada 2021.

 

“Ini dipacu oleh kadar dasar semalaman (OPR) yang stabil. 

 

“(Kedua) ramalan penurunan sebanyak 37.7% dalam peruntukan kerugian pinjaman (LLP) ekoran lonjakan sehingga 167.3% pada tahun 2020,” jelas firma penyelidikan itu dalam nota kajiannya.

 

Pada suku keempat 2020 (4Q20), LLP bank melonjak sebanyak 272.6% tahun ke tahun, ke paras yang tertinggi iaitu RM4.54 bilion. 

 

Ini sekali gus menyebabkan keuntungan bersih bank pada tempoh sama menyusut 33% tahun ke tahun, menurut CGS-CIMB. 

 

“Kami percaya bahawa LLP bank akan memuncak pada 4Q20, dan bank akan berada di titik perubahan untuk penurunan LLP bermula 1Q21 dan seterusnya, setelah tiga suku berturut-turut, bank menyediakan peruntukan agresif untuk meningkatkan penyangga penyediaan mereka terhadap risiko kredit akibat pandemik COVID-19,” jelas CGS-CIMB lanjut.

 

Situasi itu sekali gus menekankan jangkaan CGS-CIMB terhadap penurunan LLP pada tahun ini, di mana menjadi pemangkin utama bagi perolehan bank.

 

Bagaimanapun, ini mungkin direncatkan oleh tiga trend negatif yang diramalkan berlaku oleh CGS-CIMB. 

 

Ini termasuk pertumbuhan pemberian pinjaman yang lebih perlahan iaitu pada kadar 2% hingga 3% bagi tahun ini berbanding 3.4% pada 2020. 

 

Selain itu, CGS-CIMB juga menjangkakan pendapatan bukan faedah bank akan menyusut 4.5% dan overhed yang diramalkan meningkat 9.5% bagi 2021 selepas hampir mendatar sepanjang tahun 2020. 

 

“Jangkaan pemulihan pertumbuhan keuntungan bersih bank bagi 2021 merupakan potensi pemangkin penilaian semula yang mendorong kepada penarafan ‘overweight’ terhadap sektor itu.

 

“Kami melihat persekitaran operasi yang lebih baik bagi bank-bank pada tahun ini memandangkan ahli ekonomi kami menjangkakan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kembali berkembang kepada 5% dan tiada pemotongan OPR bagi tahun 2021. 

 

“Pilihan kami bagi sektor itu adalah Public Bank, Hong Leong Bank dan RHB Bank,” tambah CGS-CIMB. - DagangNews.com