Untung bersih Bintulu Port jatuh 45% kepada RM22.48 juta bagi 1QFY23 | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Bintulu Port jatuh 45% kepada RM22.48 juta bagi 1QFY23

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 31 Mei - Keuntungan bersih Bintulu Port Holdings Bhd menyusut 45% kepada RM22.48 juta pada suku pertama tahun kewangan 2023 (1QFY23) daripada RM41.06 juta.

 

Pendapatan kumpulan bagi suku berakhir 31 Mac 2023 itu turun 5% kepada RM187.9 juta daripada RM198.1 juta, manakala pendapatan sesaham (EPS) turun kepada 4.89 sen daripada 8.93 sen.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, kumpulan itu menjelaskan bahawa perbelanjaan pada suku dalam tinjauan sebanyak RM170.13 juta adalah lebih tinggi berbanding RM147.21 juta pada suku pertama tahun kewangan 2022 (1QFY22).

 

“Ini terutamanya disebabkan oleh pembayaran merit prestasi kakitangan dan pengiktirafan kos kewangan ke atas penyusunan pajakan interim bagi tanah dan kemudahan Bintulu Port Sdn Bhd (BPSB) pada suku tersebut,” tambahnya.

 

Menurut kumpulan itu, pendapatan operasi di pelabuhan Bintulu pada 1QFY23 merosot sedikit kepada RM145.3 juta berbanding RM146.4 juta dalam 1QFY22.

 

Sementara itu, Pelabuhan Perindustrian Samalaju merekodkan penurunan kepada RM32.4 juta berbanding RM41.9 juta berikutan permintaan pengeluaran untuk industri mangan berkurangan.

 

Segmen kemudahan pukal pula meningkat sedikit pada RM10.17 juta berbanding RM9.79 juta pada 1QFY23.

 

“Pendapatan daripada perkhidmatan pembinaan untuk infrastruktur konsesi sebanyak RM450,000 telah diiktiraf pada 1QFY23 manakala tiada sumbangan daripada perkhidmatan pembinaan untuk infrastruktur konsesi diiktiraf pada 1QFY23,” tambahnya.

 

Mengenai prospeknya, Bintulu Port berkata pertumbuhan perdagangan Malaysia dijangka sederhana pada 2023 memandangkan prospek pertumbuhan ekonomi global dan momentum perdagangan antarabangsa semakin lemah.

 

“Namun begitu, kumpulan kekal positif dan menjangkakan pengendalian kargo LNG akan kekal sebagai penyumbang pendapatan utama yang disokong oleh pengendalian minyak sawit dan kargo Samalaju,” katanya.

 

Saham Bintulu Port tidak berganjak pada RM5 hari ini, dengan modal pasaran sebanyak RM2.3 bilion. -DagangNews.com