Untung bersih Bumi Armada susut kepada RM118.77 juta pada 2QFY23 akibat penutupan Armada Kraken | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Bumi Armada susut kepada RM118.77 juta pada 2QFY23 akibat penutupan Armada Kraken

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 25 Ogos - Pendapatan Bumi Armada Berhad bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2023 (2QFY23) menysut kesan penutupan kapal penyimpanan dan pemunggahan pengeluaran terapung (FPSO) Armada Kraken yang tidak dijangka.

 

Kumpulan itu berkata, pada 2QFY23, untung bersih mereka susut kepada RM118.77 juta berbanding RM186.25 juta pada suku sama tahun lalu manakala hasil susut kepada RM441.32 juta berbanding RM618.43 juta pada 2QFY22.

 

Katanya, kegagalan transformer pam hidraulik (HSP) pada FPSO Armada Kraken mengakibatkan penutupan yang tidak dijangka.

 

Bagaimanapun, impak perkara itu berjaya dikurangkan sebahagiannya oleh keuntungan penjualan FPSO Armada Claire dan baki kapal sokongan luar pesisir (OSV) terakhir pada suku tersebut.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Bumi Armada, Gary Christenson berkata, penutupan Armada Kraken sangat mengecewakan memandangkan prestasi operasi kapal yang baik sejak kebelakangan ini.

 

"Walaupun pasukan bekerja keras untuk membawa kapal itu kembali ke prestasi seperti sebelum penutupan secepat mungkin namun penutupan yang tidak dirancang telah memberi kesan negatif kepada keputusan kewangan kami untuk suku tersebut," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Kumpulan itu melaporkan aliran tunai yang sihat sebanyak RM276.4 juta yang dijana daripada aktiviti operasi pada suku tersebut.

 

Katanya, dengan hasil jualan kapal, dana itu digunakan untuk mengurangkan lagi kunci kira-kira dan mengurangkan kos faedah bagi kumpulan itu.

 

Buku pesanan firma masa hadapan pada akhir suku kedua 2023 berjumlah RM11.2 bilion, dengan pilihan tambahan sehingga RM9.7 bilion. - DagangNews.com