Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 12 Okt. - Untung bersih Bursa Malaysia Bhd. dijangka susut sehingga 48.7% kepada RM62.5 juta pada suku ketiga ini, mencecah paras terendah sejak tercetusnya pandemik COVID-19.
Ini dipengaruhi oleh nilai purata dagangan harian (ADTV) yang menyaksikan penurunan sejak 2 suku sebelum ini, susut 25.3% suku ke suku kepada RM3.86 bilion pada suku kedua dan 21.9% kepada RM3 bilion pada suku ketiga.
Penganalisis CGS-CIMB, Winson Ng berkata, keadaan ini secara tidak langsung menjejaskan pendapatan ekuiti Bursa, yang mana ia menyumbang secara purata sebanyak 55% kepada jumlah pendapatan sejak 3 tahun lalu.
"Kami berpendapat keadaan ini mungkin disebabkan sekatan pergerakan yang diberi kelonggaran secara berperingkat dan lonjakan kes jangkitan COVID-19 menyebabkan sentimen pasaran berhati-hati terhadap usaha pemulihan ekonomi," katanya dalam nota kajian hari ini.
Bursa Malaysia dijangka mengeluarkan laporan kewangan bagi suku ketiga 2021 pada akhir bulan ini.
Berdasarkan analisis CGS-CIMB, ADTV dalam pasaran ekuiti Malaysia meningkat dengan ketara sejak bermulanya pandemik COVID-19 pada awal tahun lalu.
Ia meningkat 2 kali ganda kepada RM4.46 bilion dalam tempoh 6 suku yang lalu daripada RM2.22 bilion dalam tempoh 3 tahun lalu (daripada suku kedua 2017 hingga suku pertama 2020).
Apa yang menariknya, ADTV pelabur runcit melonjak 235.9% tahun ke tahun dan 70.3% tahun ke tahun masing-masing pada 2020 dan separuh pertama 2021.
Penglibatan pelabur runcit dalam pasaran tempatan turut menyaksikan peningkatan ketara daripada 24.5% pada 2019 kepada 37.7% pada tahun lalu dan 39.4% bagi separuh pertama 2021.
Sehubungan itu, Ng menjangkakan dagangan dalam pasaran ekuiti ini akan terus menyusut kepada paras normal sekitar RM2.5 bilion.
"Kami menganggarkan penurunan sebanyak 18.5% bagi perbandingan separuh tahun dan 31.8% tahun ke tahun bagi ADTV untuk separuh kedua 2021.
"Pada masa sama, kami juga menjangkakan dagangan ini akan menguncup sebanyak 36.1% pada 2022 apabila sekatan pergerakan semakin longgar dan juga kemungkinan kadar dasar semalaman (OPR) dinaikkan yang boleh menyebabkan peningkatan kadar deposit tetap," jelasnya.
Firma itu juga mendapati pertumbuhan bagi kontrak dagangan harian (ADC) untuk pasaran derivatif juga kurang memberangsangkan sekali gus mempengaruhi untung bersih Bursa pada suku ketiga.
Pendapatan derivatif secara dasarnya adalah penyumbang kedua terbesar kepada hasil Bursa, dengan purata 13.7% sejak 3 tahun lalu.
"Ia hanya meningkat 1.1% tahun ke tahun kepada 70,000 kontrak pada suku ketiga, justeru, kami menjangkakan pertumbuhan yang tidak stabil dalam pendapatan derivatif pada suku berkenaan," katanya.
Berdasarkan anggaran untung bersih pada suku ketiga ini, prestasi kewangan dalam tempoh 9 bulan dianggarkan sebanyak RM272.8 juta, yang mana ia dilihat sejajar dengan ramalan CGS-CIMB.
"Bagaimanapun, kami mengekalkan saranan 'pegang' bagi saham Bursa kerana kami menjangkakan ADTV yang lebih rendah pada separuh kedua dan tahun kewangan 2022, sekali gus menjejaskan untung bersihnya.
"Tetapi, harga saham Bursa mungkin disokong oleh hasil dividen yang menarik sebanyak 5.7% bagi tahun kewangan 2021," tambahnya.
Menurut firma itu lagi, unjuran pendapatan sesaham bagi tahun kewangan 2021-2023 juga tidak berubah dengan harga sasaran pada RM7.48. - DagangNews.com