Untung bersih Bursa Malaysia meningkat 11.4% kepada RM252.4 juta bagi FY23, isytihar dividen 14 sen | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Bursa Malaysia meningkat 11.4% kepada RM252.4 juta bagi FY23, isytihar dividen 14 sen

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 31 Jan - Bursa Malaysia Berhad mencatat keuntungan bersih RM252.4 juta bagi tahun kewangan 2023 (FY23), peningkatan 11.4% daripada RM226.6 juta yang dilaporkan pada tahun kewangan sebelumnya.

 

Pertumbuhan tersebut didorong oleh pendapatan operasi lebih tinggi sebanyak 1.3% kepada RM592.8 juta berbanding RM585.3 juta pada tahun kewangan 2022 (FY22), manakala jumlah perbelanjaan operasi menyaksikan peningkatan marginal 0.6% kepada RM294.5 juta daripada RM292.7 juta sebelumnya.

 

Ia turut mengisytiharkan dividen akhir sebanyak 14.0 sen sesaham, berjumlah kira-kira RM113.3 juta, sebagai tambahan kepada dividen interim sebanyak 15.0 sen sesaham yang dibayar pada Ogos 2023. Ini menjadikan jumlah dividen kepada 29.0 sen sesaham, mewakili nisbah pembayaran sebanyak 93% untuk FY23.

 

Pengerusi Bursa Malaysia, Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, walaupun prospek mencabar, pasaran baharu muncul dan ekonomi membangun telah mengatasi prestasi ekonomi maju dan ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan pada 2023, dengan unjuran kadar pertumbuhan KDNK hampir 4%.

 

“Dari segi prestasi pasaran modal, FBM KLCI muncul sebagai prestasi kedua terbaik ASEAN, dengan peningkatan 5.7% pada separuh kedua 2023 dan ditutup pada 1,454.7 mata, lantunan sihat daripada 1,376.7 mata yang dicatatkan pada separuh pertama 2023,” ujar beliau dalam satu kenyataan media hari ini.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift mengulas bahawa terdapat penurunan sedikit pada purata nilai dagangan harian (ADTV) sebanyak 0.5% kepada RM2.1 bilion namun ia kekal di atas paras sebelum pandemik.

 

Menurut beliau, jumlah dana yang diperoleh melalui tawaran awam permulaan (IPO) dan permodalan pasaran IPO melebihi angka dari tahun sebelumnya, yang mana sejumlah RM3.6 bilion (FY22: RM3.5 bilion) dijana daripada penyenaraian baharu, menjadikan permodalan pasaran IPO bernilai RM13.6 bilion (FY22: RM11.2 bilion).

 

“Perkembangan ini menyerlahkan keupayaan pasaran menyesuaikan diri dan berkembang maju, mengukuhkan peranan Bursa Malaysia sebagai platform berdaya maju untuk keperluan pengumpulan dana dan pelaburan,” kata Muhamad Umar.

 

 

Menurut kenyataan tersebut, pasaran sekuriti mencecah RM266.6 juta hasil dagangan pada FY23 berbanding RM263.5 juta tahun sebelumnya, meningkat 1.2% disebabkan oleh ADTV lebih tinggi yang didagangkan untuk dagangan dalam pasaran (OMT) dan dagangan perniagaan langsung (DBT).

 

Muhamad Umar menambah bahawa aktiviti perdagangan akan terus dipengaruhi perkembangan global dan tempatan yang berterusan.

 

“Sebagai bursa pelbagai aset, komitmen kami adalah memberi tumpuan kepada kepelbagaian peluang pengumpulan dana dan perdagangan untuk pemegang kepentingan.

 

“Selaras dengan matlamat alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), Bursa Malaysia akan terus menyampaikan penawaran produk dan perkhidmatan kami, termasuk pelancaran Platform Pelaporan ESG untuk membantu syarikat tersenarai awam (PLC) memenuhi keperluan pelaporan ESG mereka.

 

“Selain itu platform Perisikan Kelestarian Berpusat dilancar untuk memudahkan kedua-dua syarikat tersenarai dan tidak tersenarai menilai kesan pelepasan karbon mereka dan pelaporan data ESG mengikut piawaian global,” tambahnya.  - DagangNews.com