KUALA LUMPUR 29 Nov - Keuntungan bersih Cahya Mata Sarawak Bhd (CMS) jatuh 15 kali ganda atau 93.5% kepada RM9.98 juta pada suku ketiga tahun kewangan 2023 (3QFY23), berbanding RM154 juta dalam tempoh sama tahun lalu.
Pendapatan sesaham (EPS) kumpulan bagi suku berakhir 30 September 2023 itu menurun kepada 0.93 sen daripada 14.37 sen tahun lalu.
Bagaimanapun, pendapatan kumpulan pada suku semasa meningkat 8% kepada RM301.9 juta daripada RM278 juta tahun lalu, didorong oleh sumbangan daripada bahagian Oiltools sebanyak RM50.56 juta.
Bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan 2023 (9MFY23), CMS mencatat keuntungan bersih RM78.9 juta, merosot tiga kali ganda atau 70% daripada RM266 juta pada tempoh sama tahun lalu.
Menurut CMS, keuntungan sebelum cukainya (PBT) lebih rendah pada tempoh itu berpunca daripada keuntungan sekali sahaja daripada pengiktirafan muhibbah negatif sebanyak RM62.47 juta yang timbul daripada pengambilalihan kumpulan Oiltools dan pembalikan rosot nilai RM37.69 juta pada pelaburan dan pinjaman OM Materials dalam tempoh sama tahun lalu.
“Di samping itu, sumbangan keuntungan daripada syarikat bersekutu menurun sebanyak 66% kepada RM43.05 juta daripada sumbangan 9MFY22 sebanyak RM124.84 juta. Kumpulan tidak lagi mengiktiraf keuntungan daripada syarikat bersekutu yang telah dilupuskan pada Disember 2022,” jelasnya.
Manakala pendapatan kumpulan dalam 9MFY23 adalah 24% lebih tinggi pada RM868 juta berbanding RM702 juta sebelumnya didorong oleh kedua-dua bahagian simen dan alat minyak.
Menurut CMS, bahagian simen kumpulan mencatat pendapatan sebanyak RM493.9 juta dan PBT RM90.5 juta bagi tempoh tersebut kerana peningkatan dalam jualan simennya dan kos input yang lebih rendah.
“Prestasi kumpulan untuk sembilan bulan pertama adalah dalam jangkaan, kecuali fosfat di mana operasinya ditangguhkan. Kami menjangkakan baki tahun ini akan serupa dengan prestasi suku sebelumnya.
“Lembaga Pengarah terus berpandangan positif terhadap ekonomi Sarawak, yang merupakan petanda baik bagi kumpulan kerana perniagaan kami berada pada kedudukan baik untuk mendapat manfaat daripada perkembangan yang dijangkakan,” ulasnya mengenai prospek syarikat.
Saham CMS ditutup rendah 1 sen atau 0.9% pada RM1.11 hari ini, memberikannya permodalan pasaran sebanyak RM1.19 bilion. - DagangNews.com