Untung bersih CelcomDigi naik 35% kepada RM317.9 juta dalam suku pertama 2023, isytihar dividen 3.2 sen sesaham | DagangNews Skip to main content

Untung bersih CelcomDigi naik 35% kepada RM317.9 juta dalam suku pertama 2023, isytihar dividen 3.2 sen sesaham

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 24 Mei - CelcomDigi Berhad (CelcomDigi) telah merekodkan peningkatan 34.6% dalam keuntungan bersih kepada RM317.9 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac 2023 berbanding RM236.1 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Pendapatan kumpulan turut melonjak 109% kepada RM3.18 bilion daripada RM1.52 bilion pada suku pertama tahun lalu.

 

Dalam satu kenyataan hari ini, kumpulan itu berkata ia telah mempercepatkan aktiviti gabungannya dan terus memberi tumpuan untuk membawa pengalaman pelanggan yang lebih baik melalui produk dan perkhidmatan yang dipertingkatkan.

 

“Selepas perbelanjaan modal dipercepatkan pada suku keempat tahun kewangan 2022 (4QFY23) semasa fasa perancangan gabungan, syarikat itu melabur lagi perbelanjaan moda sebanyak RM108 juta pada suku pertama tahun kewangan 2023 (1QFY23) untuk memenuhi keperluan kapasiti yang meningkat,” jelasnnya.

 

Syarikat itu mengisytiharkan dividen interim pertama sebanyak 3.2 sen sesaham, berjumlah RM375 juta.

 

Di samping, CelcomDigi berkata ia merancang untuk melabur semula 15 hingga 18% daripada jumlah pendapatan dalam perbelanjaan modal bagi menyokong kedua-dua rangkaian sedia ada dan rangkaian bersepadu dimodenkan yang baharu.

 

Menurut kumpulan itu, ia merupakan permulaan bagi usaha integrasi rangkaian perintis dalam kelompok terpilih dan integrasi rangkaian berkelajuan penuh yang akan bermula dari suku kedua tahun kewangan 2023 (2QFY23) dan seterusnya.

 

“Cita-cita ini adalah untuk menyampaikan rangkaian 4G terluas dengan peningkatan liputan penduduk daripada 96% kepada 98% di seluruh negara, dengan teknologi 4G LTE dan 5G terkini untuk memberikan kualiti dan pengalaman yang lebih baik kepada semua pelanggan,” tambahnya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi, Datuk Idham Nawawi berkata kumpulan itu sedang mempercepatkan usaha integrasi secara menyeluruh, memberi tumpuan untuk membawa faedah penggabungan kepada pelanggan secepat mungkin.

 

 

Datuk Idham Nawawi
Datuk Idham Nawawi

 

 

“Usaha penyepaduan organisasi berada di landasan yang betul dan syarikat telah beroperasi sebagai entiti tunggal dan tumpuan dalam memberikan yang terbaik daripada kedua-dua jenama dengan tawaran, rangkaian dan pengalaman runcit lebih baik kepada 20.2 juta pelanggan kami,” tambahnya.

 

Idham menzahirkan keterujaan kumpulan terhadap prospek 5G dan berharap dapat lebih aktif dan secara langsung memainkan peranan dalam melaksanakan rangkaian 5G negara, disandarkan kepada penyediaan rangkaian 4G terluas dan paling moden di Malaysia.

 

Beliau berkata kumpulan itu kekal komited memacu pertumbuhan dalam penyelesaian penumpuan dan perusahaan, memanfaatkan teknologi dan perkongsian baharu dalam penyelesaian 5G, kecerdasan buatan (AI) dan Internet of Things (IoT). -DagangNews.com