Untung bersih Duopharma susut kepada RM8.9 juta pada 3QFY23 berbanding RM16.4 juta pada tahun lalu | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Duopharma susut kepada RM8.9 juta pada 3QFY23 berbanding RM16.4 juta pada tahun lalu

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Nov - Untung bersih Duopharma Biotech Berhad susut kepada RM8.9 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2023 (3QFY23) berbanding RM16.4 juta pada suku sama tahun lalu.

 

Hasil kumpulan itu bagi suku berkenaan juga susut kepada RM169.2 juta berbanding RM177.1 juta pada suku sama 2022.

 

Kumpulan melaporkan hasil sebanyak RM537.23 juta dan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM56.23 juta bagi tempoh semasa berakhir 30 September 2023, berbanding RM544.78 juta dan RM69.50 juta, masing-masing, bagi tempoh yang sama tahun lepas.

 

"Kumpulan mencapai pertumbuhan jualan dalam preskripsi persendirian pasaran farmaseutikal, sektor kepakaran etika dan segmen eksport berbanding tempoh yang sama tahun lepas. 

 

"Bagaimanapun, pertumbuhan ini terjejas oleh penurunan dalam permintaan daripada sektor penjagaan kesihatan pengguna, membawa kepada hasil kumpulan yang lebih rendah berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Mengulas mengenai prospek separuh kedua tahun ini, kumpulan itu berkata, walaupun terdapat cabaran ekonomi global yang timbul daripada ketegangan geopolitik serta pelaksanaan dasar monetari yang ketat namun mereka meramalkan untuk memenuhi sasaran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) antara 4% hingga 5% disokong permintaan domestik yang berdaya tahan, didorong oleh penggunaan swasta yang kukuh dan peningkatan dalam keadaan buruh.

 

Kerajaan Malaysia juga kekal komited terhadap dasar fiskalnya yang responsif untuk menyokong dan mengekalkan momentum pertumbuhan domestik.

 

Buat masa sekarang, kumpulan itu memegang kontrak tiga tahun bernilai RM375 juta bagi membekalkan InsugenInsulin Recombinant Human Formulations kepada kemudahan Kementerian Kesihatan dari 29 April 2022 hingga 28 April 2025.

 

Sementara itu, kontrak syarikat bagi membekalkan produk farmaseutikal dan/atau bukan farmaseutikal kepada kemudahan penjagaan kesihatan kerajaan di bawah APPL 2017-2019 yang tamat pada 30 Jun 2023 telah telah dilanjutkan selama enam bulan lagi kepada 31 Disember 2023. - DagangNews.com